Labuan, 21 Julai : Seramai 50 murid SMK MUTIARA dan 10 murid SMK LABUAN telah terpilih mengikuti kursus membina jatidiri remaja muslim bertempat di SMK MUTIARA dari 19 hingga 21 Julai 2019.
Program yang dikenali sebagai Adikku Sayang… Sayangi Masa Depanmu ini adalah anjuran SMK MUTIARA dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) WP Labuan . Antara objektifnya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran remaja Islam dalam menangani isu dan cabaran masa kini.
Beberapa penceramah dan fasilitator telah dijemput untuk membuat perkongsian terbaik melalui sesi ceramah dan aktiviti perbengkelan. Antaranya ialah Ustaz Shahirul bin Abdullah daripada Kolej Matrikulasi Labuan, Cikgu Firdaus Lee Abdullah dari SMK Mutiara dan Ustaz Kapten Kamarulzaman Mat Isa daripada KAGAT TUDM Labuan.
Ketika ditemui, Ustaz Zainal Wahab selaku penyelaras program telah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak JAWI WP Labuan kerana telah menyediakan peruntukan kepada pihak sekolah untuk menganjurkan program-program berbentuk pembinaan insaniah ini.
Peruntukan telah digunakan sebaiknya terutamanya dalam membentuk remaja muslim seiring dengan perubahan cabaran semasa. Beliau juga merasakan bertuah kerana SMK Mutiara telah terpilih oleh pihak JAWI WP Labuan untuk menjalinkan kerjasama erat dalam pembangunan modal insan muslim bermula dari alam remaja.
Program yang berlangsung selama 3 hari ini telah berjaya meningkatkan semangat dan motivasi diri para peserta yang terdiri daripada murid-murid tingkatan 3 hingga 5, Kelas Aliran Agama SMK Mutiara dan peserta jemputan dari tingkatan 3, SMK Labuan.
Mengulas lanjut perkara ini, Ustaz Mohd Zulaini Yaacob, Penolong Pengarah Kanan JAWI WP Labuan berkata pihaknya komited dalam menjalin kerjasama dengan sekolah- sekolah di wilayah ini. Sebenarnya inilah hasrat pihak JAWI W.P. Labuan iaitu memberikan kefahaman yang jelas tentang Agama Islam secara menyeluruh bermula dari bangku sekolah lagi. Semoga kerjasama erat ini dapat berterusan pada masa akan datang.
Adik Rahidun Bin Asri dari kelas 5 Ibnu Sina yang juga penghulu kursus telah diumumkan sebagai peserta terbaik lelaki manakala adik Nurul Ain Haziqah Binti Mohd Rashidin dari tingkatan 4 Ibnu Khaldun telah dipilih sebagai peserta terbaik wanita.
Penutupan kursus telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim, pengetua SMK Mutiara. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan tentang cabaran-cabaran bentuk baharu yang perlu ditangani dengan oleh remaja muslim masa kini. Setiap individu perlu bersedia untuk membuat perubahan dan melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran insaniah terutama dalam menangani arus Revolusi Industri 4.0.
Semoga jalinan kerjasama yang erat antara pihak JAWI WP Labuan dan SMK Mutiara ini dapat melahirkan modal insan yang unggul peribadi dan budi pekerti sebagai Muslim sejati.
Turut hadir dalam majlis penutupan kursus ini ialah Puan Siti Aminah Binti Zakaria, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Mutiara,Ustaz Mohd Basri Bin Mahadi, pegawai JAWI WP Labuan, En. Mohd Zahriman bin Ahmad, wakil PIBG SMK Mutiara, Ustazah Siti Sarah Abdul Majid, Ketua Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara, pegawai- pegawai JAWI WP Labuan dan ahli jawatankuasa kerja Program Adikku Sayang…Sayangi Masa Depanmu.
Pihak sekolah berharap agar sumbangan dan bantuan berterusan daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan kemenjadian murid dan kualiti sekolah selaras dengan Anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Berita Oleh : SMK Mutiara