Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan Suburkan Budaya Keusahawanan dan Kemasyarakatan

Datuk Hjh Noraini menyampaikan sijil penghargaan kepada KPDN HEP

Labuan, 31 Julai – Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan telah menyuburkan budaya keusahawanan dan kemasyarakatan, demikian intipati ucapan perasmian oleh Datuk Hajah Noraini binti Datuk Seri Panglima Hj Salleh, Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Sabah.

Beliau berkata, Koperasi sekolah menyediakan murid-murid dengan peluang menimba pengalaman dalam bidang perniagaan. Ini secara langsung juga dapat memberi impak kepada pembangunan sifat-sifat positif murid seperti rajin, jujur, bekerjasama dan komited terhadap tanggungjawab yang diberi.

Hari Koperasi Sekolah (HKS) SMK Labuan 2019 yang berlangsung pada 28 Julai lalu, menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya Koop Run 5 KM, menyediakan gerai jualan, pameran, pertandingan karya penulisan, mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan melukis untuk pelajar dan lawatan kemasyarakatan.

Hari Koperasi SMK Labuan bertambah meriah dengan hasil gabungan kerjasama agensi lain melalui aktiviti seperti kitar semula bersama Perbadanan Labuan, menderma darah bersama Jabatan Kesihatan WP Labuan, pertandingan Petanque bersama Jabatan Belia dan Sukan, ceramah pendidikan keusahawanan bersama Perbadanan Nasional Berhad dan pameran pelbagai agensi.

Koperasi SMK Labuan Berhad berazam untuk terus memberi sumbangan positif kepada sekolah amnya dan kepada murid-murid khasnya. Ini juga secara kolektifnya akan memberi sumbangan kepada kemajuan gerakan koperasi di peringkat nasional.

Jumlah jualan Koperasi SMKL Berhad bagi tahun berakhir 31 Mac untuk 3 tahun terakhir bermula 2017 hingga 2019 menunjukkan peningkatan yang semakin ketara.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berkata pihak sekolah komited dengan peranan koperasi sekolah iaitu  membantu membangunkan modal insan yang kompetitif serta berpotensi untuk memperkukuhkan bidang keusahawanan negara.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pameran-pameran serta aktiviti kitar semula, yang merupakan aktiviti yang menyumbang kepada penyuburan sikap menghargai alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Di majlis yang sama, Adik Kizzer Poh dan Siti Nordiana binti Abdullah, masing-masing telah mendapat Anugerah Khas Koperator Lelaki dan Perempuan Terbaik 2019.

Turut hadir Encik Jaafar bin Matusin, Penolong Pengarah Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP  Labuan, Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu, Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Encik Azmaniansyah Bin Bachok, Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Labuan, Puan Yantie Bakir, Ketua Peladang Muda, Pertubuhan Peladang Kawasan Labuan Selatan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dari kiri Encik Kitli, Encik Jaafar, Encik Azmaniansyah, Encik Ismail, Datuk Hjh Noraini, Tuan Hj Yusof, Encik Saminan dan Puan Yantie

Loading

image_pdfimage_print