Ikon Guru Lakar Sejarah di Indonesia sebagai Pembentang Pleno

Ikon Guru Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia 2015, Dr. Hyginus Lester Junior Lee melakar sejarah apabila menjadi pembentang utama tunggal dari Malaysia dalam sidang pleno persidangan antarabangsa Indonesia.

Sidang pleno adalah sesi lengkap yang dihadiri oleh semua peserta sesuatu persidangan dan umumnya disampaikan oleh tokoh dan ilmuwan tersohor dalam bidang tertentu.

Anak kelahiran Kota Kinabalu dan sedang berkhidmat sebagai pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan adalah seorang daripada empat pembentang pleno luar negara dalam The 3rd Indonesia International Conference on Linguistics, Language Teaching, Literature and Culture yang berlangsung pada 20-22 Julai 2019 di Universitas Pamulang, Indonesia.

Tiga pembentang pleno luar negara yang lain ialah Dr. Mark Fraser dari Universiti Wollongong (Australia), Paul Smith, OBE (British Council Jakarta), dan Shri Makrand Shukla (Pengarah, Jawaharlal Nehru Indian Cultural Centre, Kedutaan India di Jakarta). Lima pembentang pleno dalam negara dari Indonesia ialah Profesor Sihabudin (Universitas Pendidikan Indonesia), Dr. Condro Nur Alim (Universitas Muhammadiyah Purwokerto), Dr. Desvalini Anwar (Universitas Negeri Padang), Hjh Djasminar Anwar (Universitas Pamulang), dan Dr. Muhammad Widan (Universitas Pamulang).

Dari kiri: Dr Desvalini, Dr Hyginus, Hjh Djaminar dan Dr. Mark Fraser

Perunding Pendidikan Amerika Syarikat, John Parker dan Perunding Pendidikan Amsterdam, Paul Bijlsma merupakan dua pembentang fitur (featured speaker).

Persidangan tiga hari itu dirasmikan oleh Profesor Dr. Uman Suherman, Kepala LLDIKTI Wilayah IV Jabar-Banten di Kampus III Viktor Lt.8, Universitas Pamulang. Profesor Dr. Joko Nurkamto daripada Universiti Sebelas Maret yang juga Presiden TEFLIN dijemput sebagai pembicara utama (keynote speaker)

Dr. Hyginus menyatakan bahawa beliau teruja apabila dijemput sebagai pembentang tunggal Malaysia sidang pleno dan amat berterima kasih di atas kepercayaan pihak universiti memberi peluang berkongsi dapatan kajian tindakan inovasi pembelajaran bahasa Inggeris bertajuk “I SPY 5 Starflowers: Innovating Teaching, Facilitating Learning of Subject-Verb Agreement and Plural Nouns”.

“I SPY 5 Staflowers” merupakan inovasi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang memberi fokus kepada aspek tatabahasa subject-verb agreement dan plural nouns. Inovasi tersebut adalah penambahbaikan daripada inovasi awal beliau “I SPY 5 Stars” dan “I SPY 5 Stars Version 2.0” yang telahpun memenangi pelbagai anugerah peringkat negeri, kebangsaan, dan antarabangsa.

Kajian tindakan yang melibatkan 264 orang murid ini adalah hasil kerjasama Ketua Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan, Cik Debbie Lawrence dan Ketua Pentaksir Lisan Sekolah, Puan Onnia Ahngol. Inovasi tersebut telah dibentangkan di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dalam Seminar Kajian Tindakan Panitia pada 06 April 2019 dan dipamerkan dalam The 3rd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar (3rd CAIELTS 2018), Pertandingan Kreativiti dan Inovasi PIBG SMK Mutiara 2018, dan Karnival Mai Tah Ba’Inovasi Peringkat Kebangsaan 2019.

Dr. Hyginus menerima sijil daripada Hjh Djasminar Anwar, Dekan Fakulti Persuratan, Universitas Pamulang

Dr. Hyginus merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, Pegawai SIP+ yang juga mantan Pengetua SMK Mutiara, Encik Louren Abon, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Cik Khaziyati Osman, dan Ketua Pengurusan Akademik Encik Yusup Mohammad atas sokongan penglibatan kakitangan jabatan dalam kajian dan inovasi.

Dr. Hyginus merupakan penerima anugerah Ikon Inovasi Kebangsaan MyRIS 2019 dan Ikon Guru Inovasi Jabatan Pendidikan W. P. Labuan 2019. Bett Asia yang berpusat di United Kingdom pernah menobatkan beliau sebagai Warga Global 2016 (Global Citizen) kerana kecemerlangan beliau dalam inovasi dan penyelidikan peringkat antarabangsa. Beliau menganjurkan bengkel percuma untuk guru dan murid dan boleh dihubungi melalui laman Facebook “Hyginovasi” atau hyginovasi.blogspot.com

Loading

image_pdfimage_print