Kumpulan Inovatif dan Kreatif Guru Labuan Sahut Cabaran

13 pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) guru daripada 4 sekolah menengah dan 9 sekolah rendah WP Labuan telah hadir menimba ilmu KIK pada 10 – 11 Mac 2017 bertempat di Sekolah Menengah Sains Labuan. Bengkel ini merupakan persediaan para guru Labuan untuk pertandingan KIK Peringkat Negeri dan Kebangsaan yang dijangka berlangsung pada bulan Mei dan Oktober 2017.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Puan Khaziyati Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. JPWPL merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para pegawai daripada Jabatan Bomba Wilayah Persekutuan Labuan terdiri dari Penolong Penguasa Bomba Tuan Pain Muzal, Pegawai Bomba Kanan Encik Azri Abdullah, Pegawai-pegawai Bomba Encik Zulizan Chee Nyau Kee, Encik Azizul Adam dan Encik Mohd Kasran Denah yang sudi berkongsi kepakaran dalam penyediaan dokumentasi pengurusan teknikal berkaitan KIK.

KIK berperanan penting dalam pembangunan modal insan dimana setiap individu secara intensif dibimbing, dilatih dan dibangunkan untuk lebih menghayati misi, visi dan hala tuju organisasi. Setiap peserta KIK diberi peluang yang sama rata dalam menyumbangkan idea dan pendapat, seterusnya melaksanakan langkah-langkah penyelesaian masalah atau penambahbaikan terhadap proses kerja sedia ada.

Secara tidak langsung, KIK turut melatih pelbagai lapisan anggota organisasi untuk tampil berani dalam merangka dan menyusun gerak kerja serta melaksanakan tindakan perubahan ke arah memantapkan keupayaan sumber manusia yang ada demi kejayaan organisasi.

Puan Khaziyati Osman mengucapkan syabas dan tahniah kepada peserta bengkel kerana telah berjaya membentuk pasukan dan berani menyahut cabaran menyertai KIK demi meningkatkan mutu pembelajaran dan pemudacaraan (PdPc) di sekolah.

Tahniah dan syabas juga kepada Unit Kualiti dan Inovasi yang diketuai oleh Encik Arief Gunawan Ramlee dan dibantu oleh Cik Hevylien Samuel serta Jurukamera Encik Marzuki kerana telah berjaya menguruskan kolaborasi dan mewujudkan jalinan dengan pihak Jabatan Bomba WP Labuan.

 

Loading

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.