Laman Membaca Permata Hati, Hub Transformasi Minda Komuniti, SMK Rancha-Rancha

Perasmian Laman Membaca Permata Hati oleh Datin Dato' Sri Hajah Norsiah binti Abdullah

Labuan , 13 Ogos – Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah mengadakan perasmian laman bacaan Permata Hati pada 9 ogos yang lalu.

Ruang bacaan  yang dinamakan  sebagai Permata Hati ini merupakan ruang bacaan kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 10  tahun. Ruang bacaan ini adalah perkhidmatan istimewa yang diberikan kepada ahli komuniti pusat sumber di sekolah SMK Rancha-Rancha.

Perasmian laman bacaan Permata Hati di Pusat Sumber DSDN telah dilakukan oleh penaung Pusat Sumber Sekolah berkenaan iaitu Datin Dato’ Sri Hajah Norsiah binti Abdullah.

Turut menyaksikan perasmian majlis itu ialah Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian Jabatan Pendidikan W.P Labuan  iaitu Encik Asbolah bin Amit, Pengerusi Labuan Society Encik Wan Abdul Rahim bin Wan Abd Rahman , Encik Yahya bin Ahmad Puteh Pengetua SMK Rancha-Rancha serta barisan penolong kanan pentadbiran sekolah tersebut.

Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha memberi kemudahan yang bertaraf perpustakaan awam di Malaysia

Sewaktu membuat penanda perasmian , penaung Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha menyatakan bahawa ruang yang diadakan tersebut  mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung ke PSS DSDN SMK Rancha-Rancha.

Dengan adanya pelbagai kemudahan dan ruang yang menarik, beliau yakin Pusat Sumber Sekolah DSDN mampu menjadi pusat tranformasi minda kepada komuniti terdekat seperti penduduk Kampung Sungai Lada, Sungai Labu, Sungai Miri, Sungai Pagar dan Sungai Bedaun.

Encik Sapri bin idris selaku Ikon Guru Perpustakaan dan Media W.P Labuan dan GPM sekolah berkenaan menyatakan, laman membaca Permata Hati  diwujudkan adalah untuk menjadikan Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha hub membaca dalam kalangan komuniti setempat.

Tambah beliau lagi, dengan adanya laman sedemikian maka ahli komuniti yang terdiri daripada kanak-kanak akan mengenali PSS DSDN SMK Rancha-Rancha sekaligus menjadikan sekolah tersebut sebagai buah hati para ibu bapa dalam membudayakan amalan membaca yang seharusnya dipupuk sejak dari kecil lagi.

GPM SMK Rancha-Rancha En Sapri (kiri) bergambar bersama tetamu perasmi yang hadir

Menurut Pengetua sekolah SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya bin Ahmad Puteh menegaskan SMK Rancha-Rancha sebagai sekolah komuniti, seharusnya mempunyai alternatif dalam menarik ahli komuniti datang ke sekolah. Ahli komuniti setempat boleh menyumbang idea, wang ringgit dan tenaga dalam membangunkan sekolah secara kolektif.

Hubungan yang erat antara warga sekolah bersama komuniti setempat sudah pastinya akan memberi impak yang baik khususnya dalam perkembangan pendidikan anak-anak kampung di Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Yahya ketika membuat ucapan alu-aluan kepada para tetamu yang hadir

Kanak-kanak yang telah menjadi ahli komuniti Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha, boleh meminjam bahan bacaan yang disediakan pada setiap hari Sabtu dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari. Ibu bapa boleh menemani anak-anak mereka ketika di pusat sumber sekolah .

Perkhidmatan tambahan di Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha ini telah dibiayai oleh penaung PSS iaitu Datin Dato’ Sri Hajah Norsiah binti Abdullah dengan menyediakan khidmat pegawai perpustakaan untuk menjaga dan menguruskan PSS setiap hari Sabtu.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Laman membaca Permata Hati pengikat kasih sayang antara anak-anak dengan ibu bapa

Loading

image_pdfimage_print