Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, ‘Sucikan Dirimu’ SMK Mutiara Bantu Murid Menyucikan Diri Secara Tertib

Demonstrasi mandi wajib yang dipimpin oleh Ustaz Abdull Basir

Labuan – Seramai 158 murid-murid Tingkatan 4 dan 5 SMK Mutiara dibimbing secara amali di dalam Program Tahsin Sahsiah Remaja Muslim, Sucikan Dirimu yang telah diadakan di Surau Al Marjan, SMK Mutiara pada 23 Ogos 2019 lalu.

Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara. Menurut penyelaras program, Ustazah Siti Sarah, aktiviti ini dianjurkan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran mandi wajib secara amali. Inisiatif ini diambil kerana hasil tinjauan mendapati ramai murid belum tahu tentang kaedah mandi wajib secara tertib.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Bomba dan Kecemasan Labuan dalam menjayakan program ini.

Sebelum sesi amali, satu sesi ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Abdull Basir Bin Mahadi dari JAWI Labuan. Dalam ceramah beliau, Ustaz Abdull Basir telah menekankan konsep kebersihan dan kesucian terutamanya dalam melaksanakan ibadat kepada Allah dan kehidupan seharian.

Ustaz Abdull Basir bin Mahadi sedang menyampaikan ceramah berkaitan konsep kebersihan dan kesucian

Program bimbingan dilaksanakan secara berasingan antara murid-murid lelaki dan murid-murid perempuan.

Peserta-peserta yang ditemui telah melahirkan rasa teruja dalam melaksanakan amali tersebut. Mereka merasakan program ini sangat berguna terutama kepada golongan remaja dalam proses ‘menyucikan diri’. Hal ini kerana kebanyakan remaja merasa malu untuk bertanya tentang hal ini walaupun kepada ibubapa sendiri. Mereka berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan murid-murid.

Program diakhiri dengan Solat Taubah secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Abdull Basir.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print