MPSM LABUAN Sertai Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2019

Encik Ismail dan Puan Hjh Jijah semasa pembentangan kajian tindakan

Labuan, 24 Ogos – Dua pengetua telah mewakili MPSM membentang di dalam Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri yang telah diadakan pada 23 Ogos 2019 bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN).

Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan yang juga merupakan YDP MPSM Labuan telah membentang kajian tindakan bertajuk Meningkatkan Amalan PLC Dalam Kalangan Guru di SMK Labuan Dengan Menggunakan Strategi ‘I-LEAD’.

Menurut beliau, strategi ‘I-LEAD’ telah berjaya meningkatkan pelibatan guru dalam menjadikan PLC sebagai medium meningkatkan kualiti PdP dalam kalangan guru di SMK Labuan. Strategi ini juga telah memberi impak positif dalam meningkatkan prestasi akademik di SMK Labuan secara keseluruhan.

Puan Hajjah Jijah Mohamad Suhai pula membuat pembentangan bertajuk ‘Practice Makes Perfect’ dalam kolokium ini. Beliau merupakan pengetua di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Dalam pembentangan tersebut beliau memberi fokus kepada kaedah terbaik meningkatkan kefahaman dalam kalangan murid Tingkatan 5 berkaitan tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’.

Sebelum pengenalan kaedah ini, murid-murid yang lemah menghadapi kesukaran dalam menguasai kandungan pembelajaran tajuk berkenaan. Beliau berusaha dari semasa ke semasa membuat kajian dan penambahbaikan dalam kaedah PdP dan akhirnya tercetus inovasi yang dinamakan ‘Practice Makes Perfect’.

Hasilnya, pembelajaran murid di dalam mata pelajaran matematik tingktan 5 terutamanya tajuk ‘Bumi Sebagai Sfera’ telah menjadi lebih mudah untuk difahami dan penguasaan murid meningkat.

Kolokium anjuran Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan ini pertama kali seumpamanya diadakan susulan daripada empat siri bengkel kajian 12 langkah Kajian Tindakan yang telah dikendalikan oleh ikon inovasi negeri Cik Suriani Alland Rice Oxley.

Kajian Tindakan yang dihasilkan oleh Encik Ismail bin Abdullah dan Puan Jijah Mohamad Suhai telah berjaya dianugerah pingat perak oleh para juri. MPSM berasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian yang diraih oleh kedua-dua pengetua tersebut.

Perasmian penutupan kolokium kajian tindakan telah disempurnakan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua-ketua sektor, para pengetua dan para guru besar semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk LIS.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Puan Khaziyati (kiri), Encik Ag Marten (kanan) bersama peserta kolokium

Loading

image_pdfimage_print