27 Kertas Kajian Tindakan Dibentangkan Di Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019

Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Puan Khaziyati (kiri), Encik Ag Marten (kanan) bersama peserta kolokium

Labuan – SATU Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah diadakan pada 23 Ogos 2019 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan. Kolokium Kajian Tindakan ini merupakan satu program khusus untuk para pemimpin sekolah dan guru-guru yang telah menyertai Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12 Langkah.

Bengkel Kajian Tindakan menggunakan Borang Inovasi 12 Langkah ini telah dijalankan sebanyak 2 fasa iaitu Fasa Perancangan & Pelaksanaan dan Fasa Penyediaan Slaid Pembentangan. Di dalam fasa 1, sebanyak 4 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 31 Januari, siri 2 pada 18 Februari, siri 3 pada 26 Februari dan siri 4 pada 4 Mac. Manakala di fasa 2 pula, sebanyak 2 siri bengkel telah dijalankan iaitu siri 1 pada 4 & 5 Julai dan siri 2 pada 19 Julai 2019.

Borang Inovasi 12 Langkah yang digunakan dibengkel ini adalah borang inovasi yang dihasilkan oleh Puan Suriani Alland Oxley, School Improvement Specialist Coaches (SISC+) Labuan.

Borang Inovasi 12 Langkah ini merupakan borang yang mengandungi 12 soalan mudah bagi membantu peserta menjana idea mereka dalam menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran (P&P), pengurusan panitia dan kepimpinan sekolah melalui strategi kajian tindakan.

Strategi kajian tindakan bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kualiti pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah malah kajian tindakan membantu meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui amalan pembelajaran kendiri yang berilmiah.

Selain itu, kajian tindakan juga merupakan satu kaedah yang boleh dijadikan rujukan kerana kajian tindakan menyediakan data dan evidens sahih mengenai proses perubahan amalan pedagogi, pengurusan dan kepimpinan guru dan pemimpin sekolah yang terbaik.

Seramai 34 orang pembentang yang terdiri daripada 3 orang pengetua dari S.M.K Labuan, S.M.K Taman Perumahan Bedaun dan Sekolah Antarabangsa Labuan, 3 orang Guru Besar dari S.K Bebuloh, S.K Pantai dan S.K Tanjung Aru serta 28 orang guru dari Pusat Tingkatan 6 S.M.K Labuan, Penolong Kanan Kurikulum S.M.K Taman Perumahan Bedaun, S.K Bukit Kalam, S.K Layang-Layangan, S.J.K(C) Chi Wen, S.K Pekan Satu, S.K.K S.K ST Anne, S.K Pantai, S.K Pekan Dua, S.K Lubok Temiang dan Sekolah Antarabangsa Labuan telah membentangkan 27 kertas kajian tindakan di kolokium ini.

Gambar-gambar sekitar kolokium kajian tindakan

Selain daripada berkongsi dapatan, kajian tindakan para pembentang juga turut diberikan penilaian bintang emas, perak dan gangsa yang dinilai oleh 4 orang juri iaitu Puan Khaziyati Osman (Ketua Sektor Jaminan Kualiti) merangkap ketua juri, Puan Maimoon Matnoh (Ketua Sektor Pengurusan Sekolah), Encik Hasbollah bin Amit (Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan) dan Encik Awang Marten bin Hj Abdul Rahman (Ketua Penolong Pengarah BTPN).

Sebanyak 8 kertas kajian tindakan telah diberikan bintang emas, 13 bintang perak dan 6 bintang gangsa di kolokium ini.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian sijil Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Negeri W.P.Labuan telah disempurnakan oleh Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Turut sama dimajlis ini ialah para jemputan yang terdiri daripada para pemimpin sekolah dan guru-guru di Labuan.

Encik Raisin Saidin berucap semasa majlis perasmian penutupan Kolokium Kajian Tindakan

Loading

image_pdfimage_print