SK Pekan Satu Muncul Johan Kalam Jamaie, dan Seni Khat Sempena Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) WP Labuan

Kumpulan Al- Hannan muncul johan acara kalam jamaie

Labuan, 23 Ogos– Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2019 yang lalu. Tiga acara telah diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung iaitu Kalam Jamaie, Seni Khat dan Khatam al-Quran Perdana bagi peserta-peserta sekolah rendah.

Sekolah Kebangsaan Pekan Satu menghantar penyertaan bagi ketiga-tiga acara iaitu seramai 25 orang murid mewakili pertandingan kalam jamaie, 2 orang murid mewakili pertandingan seni khat dan 2 orang mewakili acara khatam al-quran perdana di bawah bimbingan Puan Sanisah binti Zulkifle sebagai jurulatih utama dan guru pengiring.

Kumpulan Al-Hannan telah muncul johan bagi pertandingan Kalam Jamaie dan telah dipilih menerima hadiah kategori lirik terbaik. Kumpulan ini dianggotai oleh 25 orang murid yang diketuai oleh adik Nur Amna Ammiera binti Amiruddin sebagai konduktor pasukan. Kumpulan Al-Hannan mempersembahkan kalam jamaie bertajuk “Arriyadhotu” di bawah tema “Fil Mal’abi”.

Kejayaan ini telah melayakkan kumpulan Al-Hannan untuk mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah (KDSS) peringkat kebangsaan di Selangor Darul Ehsan pada Oktober depan.

Kumpulan Al-Hannan mendapat giliran pertama untuk memulakan pertandingan

Kejayaan terus dirai oleh peserta SK Pekan Satu apabila adik  Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad diumumkan sebagai johan bagi acara seni khat kategori lelaki sekolah rendah.

Kejayaan ini turut melayakkan adik Mohd Luqman Hakim Bin Mohamad untuk bersama kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan ke KDSS peringkat kebangsaan nanti. Bagi pertandingan Seni Khat kategori perempuan sekolah rendah, adik Alya Mahirah Binti Wahid telah mendapat tempat ketiga.

Acara khatam al-quran perdana yang sememangnya merupakan acara tahunan ini telah disertai oleh adik Muhammad Azhad Irsyadee  Bin Abd Danan dan adik Nur Fatin Madiha  Binti Hamka bagi mewakili SK Pekan Satu. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang telah mewakili sekolah.

Diharapkan agar keberanian yang ditonjolkan dan kejayaan yang telah diperoleh oleh adik-adik ini menjadi penyuntik semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk tampil ke hadapan mengasah bakat masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi platform terbaik untuk semua wakil SK Pekan Satu terus mencintai al-quran , Bahasa Arab dan seni khat.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Loading

image_pdfimage_print