Murid SK Sungai Bedaun Gembira Sertai Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019

Peserta Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019, staff Maybank, guru-guru dan ibubapa bergambar ceria

Labuan, 30 Ogos – Kolaboratif di antara Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) dengan Maybank Malaysia Berhad, Cawangan Labuan dalam Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019 pada 24 Ogos lalu di Dewan Permata, SKSB berjaya mencungkil bakat dan potensi murid dalam berbahasa Inggeris.

Program ini melibatkan 25 orang pegawai Maybank Labuan manakala jawatankuasa bertugas terdiri daripada guru-guru SKSB dan 105 orang murid daripada tahun 4 dan tahun 5.

Acara pada pagi itu dimulakan dengan Perarakan Hari kemerdekaan yang terdiri daripada lima kontijen termasuk kontijen staf Maybank Berhad Cawangan Labuan. Perarakan murid-murid ini  dikendalikan oleh Panitia Sejarah dan Panitia Bahasa Inggeris.

Bagi menceriakan suasana, murid-murid berarak dengan memakai pakaian yang melambangkan perpaduan dan tema kemerdekaan Malaysia. Mereka berarak seawal jam 7.00 pagi di Dataran Perhimpunan SKSB sambil membawa bendera Malaysia dan logo sambutan hari kemerdekaan tahun ini iaitu “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih”.

Kontingen Tok Janggut segak mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan
Kontinjen Antanom bergambar bersama “Basikal Merdeka”

Kontijen-kontijen tersebut ialah Kontijen Rentap yang melibatkan dua puluh enam orang murid dengan diiringi oleh tiga orang guru iaitu Cikgu Frederick Singan, Cikgu Evelyn Martin dan Cikgu Normah.

Kontijen Tok Janggut pula terdiri daripada dua puluh enam orang murid dan tiga  orang guru iaitu Cikgu Mariam Basir, Cikgu Noor Farehin Yusof dan Cikgu Noraliza Allbi.

Kontijen Antanom juga terdiri daripada dua puluh enam orang murid dan tiga orang guru iaitu Cikgu Shafawati Seliat, Cikgu Wong Lee Choo dan Cikgu Sanimah Tali.

Cikgu Rabiatul Adawiah, Cikgu Shalihin, dan Cikgu Mylsa Avinnie Musah pula mengiringi Kontijen Mat Kilau yang terdiri daripada dua puluh tujuh orang murid.

Kontijen Maybank Labuan pula terdiri daripada sepuluh orang staf dan diketuai oleh Pengarah Maybank Cawangan Labuan Encik Jofri Bin Baharuddin.

Encik Jofri (lima dari kanan) mengetuai perbarisan kemerdekaan kontingen Maybank.

Bagi mencungkil bakat serta kemahiran berbahasa inggeris, pihak penganjur menyediakan pertandingan “Musical Drama” , “The best essay”  dan “Singing Competition”

Pertandingan Musical Drama ini terdiri daripada tiga kumpulan yang membawakan lagu tema Do Re Mi, Favourite Things dan So Long, Forewell!. Semua aktiviti menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara dan dibimbing oleh guru-guru subjek Bahasa Inggeris. Manakala Singing Competition telah disertai seramai lapan orang murid. Kesemua pertandingan ini diadili oleh pegawai-pegawai daripada Maybank, Labuan.

Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kepercayaan pihak Maybank Berhad Cawangan Labuan yang telah memilih SKSB bagi melaksanakan program Seed of Future and Global CR Day 2019.

“Selaku guru besar dan ketua di sini, saya sangat terharu di atas kepercayaan pihak Maybank kepada pihak sekolah. SKSB sangat beruntung kerana sudah dua tahun menjadi rakan kerjasama dengan Maybank. Banyak manfaat yang diperolehi oleh murid-murid. Pihak sekolah sentiasa membuka pintu kepada mana-mana agensi untuk berkolaborasi bagi menjayakan program kearah kemenjadian murid dan kecemerlangan sekolah”. Katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Encik Jofri Bin Baharuddin Pengarah Maybank Cawangan Labuan, Puan Maimon Binti Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan ibubapa murid.

Dalam ucapannya, Encik Jofri turut melahirkan rasa bangga di atas kerjasama dan komitmen padu kedua-dua pihak dalam melaksanakan program ini. 

“Saya sungguh seronok melihat persembahan murid-murid. Mereka berani berbahasa inggeris dan  sangat yakin  berada di atas pentas. Terserlah bakat anak-anak dalam bidang lakonan dan nyanyian malah mereka dapat menghayati bait-bait perkataan yang dituturkan dengan baik. Aktiviti yang dilaksanakan menjadi platform untuk menggalakkan murid-murid mempraktikkan penggunaan bahasa inggeris dalam kehidupan seharian. Ia secara tidak langsung dapat menarik minat murid terhadap bahasa inggeris.  ” Katanya ketika berucap semasa majlia penutupan.

Menurut Encik Jofri lagi,  Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019 merupakan satu tanggung-jawab korporat yang dilaksanakan saban tahun. Fokus pada tahun ini adalah terhadap penguasaan bahasa inggeris selaras dengan peranannya sebagai bahasa utama dunia.

Ketua Panitia Bahasa Inggeris SKSB Cikgu Noor Farehin Binti Mohd Yusof,  turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Maybank cawangan Labuan atas sumbangan buku-buku cerita bahasa inggeris dan sumbangan tenaga untuk  menyediakan sudut bacaan kedua di Sk Sungai Bedaun.

Puan Maimoon (berdiri empat dari kanan), Puan Wiwik Iswandari (berdiri kiri dari kanan), Encik Jofri (berdiri lima dari kanan), Puan Dg Sarifah (berdiri tujuh dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama staf Maybank Cawangan Labuan dan guru-guru SKSB selepas merasmikan sudut bacaan Maybank.

Encik Jofri bin Baharuddin, Puan Dg Sarifah binti  A.Mahmod dan Puan Maimoon binti Mat Noh turut merasmikan sudut bacaan Maybank di Dewan Permata dan membuat lawatan ke sudut bacaan pertama Maybank yang terletak di pusat sumber sekolah. Dengan adanya kedua-kedua sudut bacaan Maybank ini, akan bertambahlah bahan bacaan Bahasa Inggeris untuk murid-murid SK Sungai Bedaun.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah dan makan tengahari yang telah disumbangkan oleh Maybank.

Semoga murid-murid terus bermotivasi dalam pembelajaran mereka dan berminat terhadap bahasa Inggeris. Semoga kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada  kedua-dua belah pihak dan dapat  diteruskan lagi dimasa hadapan.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Peserta Rumah Mat Kilau menjuarai keseluruhan acara yang dipertandingkan.Tahniah juga kepada kepada semua peserta kerana berjaya mengikuti semua acara dengan jaya.
Pembawa papan tanda Kontinjen Rentap bergaya bersama busana tradisional kaum iban.

Loading

image_pdfimage_print