Bekas Pelajar SM St Anthony Bantu Sekolah

Simbolik penyerahan sumbangan kerusi murid oleh Mayverine Wong kepada Dona Undoh ( Pengetua SM St. Anthony ) Dari Kiri: Sue Ong Siew Kwan, Christine Ang, Linda Liaw, Emiliana Kinajil, Amy Sim, Fanny Yapp, Louis Liew, Mayverine Wong, Dona ( Pengetua ) Yee Choon Hian ( PK HEM ), Friddy Fu ( Pengerusi BOG ), Leberie ( PK1 ), Bro Wilson dan Chia Sia Theng (YDP PIBG)

Labuan – sekumpulan bekas pelajar SM St Anthony telah menyampaikan sumbangan kerusi baru bagi kesemua 15 buah bilik darjah sekolah berkenaan. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Co-ordinator kumpulan Alumni iaitu Puan Mayverine Wong dan Encik Louis Liew  bersama 6 orang bekas pelajar yang lain.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah ( BOG ) En Friddy Fu dan YDP PIBG sekolah berkenaan iaitu Encik Chia Sia Theng.

Puan Mayverine Wong dalam ucapannya menyatakan rasa syukur kerana dapat menghulurkan bantuan kepada sekolah yang memerlukan.

Sebelum ini mereka juga telah menghulurkan bantuan kepada sekolah di pedalaman Sabah. Mereka bersedia membantu kedua-dua sekolah bantuan modal termasuk Sekolah Menengah St. Anne, kerana kesemua bekas pelajar ini juga pernah bersekolah di Sekolah Menengah St. Anne

Dalam Majlis Penyerahan Sumbangan ini Puan Dona  Undoh selaku Pengetua sekolah, mengucapkan rasa syukur dan terima kasih  yang tidak terhingga kepada Puan Mayverine serta semua bekas pelajar ini yang begitu bermurah hati untuk membantu  bekas sekolah mereka.

Sebagai sebuah sekolah bantuan modal, sumbangan daripada bekas pelajar amat dialu-alukan. Beliau menyeru kepada semua bekas pelajar SM St. Anthony di mana juga mereka berada agar dapat menghulurkan sumbangan kepada pihak sekolah dan Lembaga Pengurusan Sekolah (Board Of Gorvenor) dalam membangunkan sekolah ini.

Puan Dona berkata perancangan pembangunan seterusnya bagi sekolah ini ialah projek pembinaan 6 buah bilik darjah, Makmal Komputer dan Makmal Sains yang melibatkan penambahan 2 tingkat bangunan di blok C.

Penambahan 2 tingkat bangunan ini akan melengkapkan prasarana sekolah di sekolah ini agar lebih kondusif dan selamat.

Beliau amat berharap komuniti setempat dapat membantu sekolah ini yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Cina, Kadazan, Iban , Dusun, Kedayan, Melayu, Bajau, India dan lain-lain.

Bantuan bekas pelajar kepada sekolah memberi makna yang besar kepada sesebuah sekolah.

Ini sangat jelas apabila pihak Kementerian Pendidikan  meletakkan kerjasama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Berita Oleh : SM St Anthony

Loading

image_pdfimage_print