Disiplin Terjaga, Jenayah Dijauhi Melahirkan Sahsiah Terpuji

Sesi Fotografi Bersama dengan Pengawai Perhubungan Polis Sekolah, Tuan Amy Dazni bin Danial

Labuan, 17 September 2019- SK Pekan Satu telah mengadakan Program Disiplin kepada semua murid tahap dua bertempat di dewan C.U.N. Guru Besar Sk Pekan Satu Puan Anita mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada penceramah jemputan iaitu Pengawai Perhubungan Polis Sk Pekan Satu, Tuan Amy Dazni bin Danial dan menasihatkan agar murid-murid memberikan tumpuan yang jitu terhadap isi ceramah yang akan disampaikan supaya ianya dapat membantu murid-murid meneruskan kehidupan pada masa akan datang tanpa terjebak dengan kes jenayah. Sentuhan ceramah Tuan Amy Dazni yang membicarakan topik “Disiplin terjaga, jenayah dijauhi melahirkan sahsiah terpuji” memukau suasana dewan seketika serta, berjaya menyentuh jiwa dan sanubari semua yang hadir terutama di kalangan murid-murid tahap dua. Program disiplin ini sejujurnya memberikan impak yang positif serta kesan yang mendalam terutama apabila disentuh mengenai kes salah laku yang begitu sinonim berlaku dikalangan murid seperti kes buli, ponteng sekolah, vandalisme dan sebagainya.

Mengukuhkan lagi intipati ceramah yang disampaikan oleh Tuan Amy Dazni tayangan video berkisarkan beberapa hukuman yang dikenakan kepada murid-murid sekolah yang didapati melakukan jenayah. Contohnya murid-murid yang terjebak dengan kes buli akan diberikan kaunseling serta bimbingan disiplin berterusan. Jika didapati kes murid semakin serius maka tindakan lanjut akan diambil iaitu murid yang terlibat akan dihantar ke sekolah pemulihan akhlak agar mereka mendapat bimbingan disiplin dan sahsiah dengan lebih baik.

Tuan Amy Dazni juga menyatakan bahawa, “Murid-murid pada masa kini bukan hanya terjebak dengan kes ponteng sekolah, vandalisme dan buli tetapi ramai dikalangan murid sekolah sudah yang berani berjinak-jinak dengan jenayah yang lebih ekstrem seperti jual beli dadah, salah laku seks, membunuh, menyertai kumpulan kongsi gelap dan militant”. “Tidak dinafikan bahawa penglibatan murid sekolah dalam kes-kes jenayah ekstrem seumpama ini adalah didorong oleh ledakan kecanggihan teknologi dunia secara global tanpa adanya sekatan penggunaan media sosial yang merupakan penyumbang terbesar kepada keruntuhan dan kebejatan akhlak generasi muda masa kini,” katanya lagi.

Diakhir ceramah yang disampaikan oleh Tuan Amy Dazni, beliau mengingatkan sekali lagi bahawa kebijaksanaan murid-murid dalam menelesuri kecangihan dunia teknologi ke arah yang positif sahaja pada hari ini adalah sangat penting dalam memartabatkan disipilin murid itu sendiri. Selain itu menurut beliau juga, ibu bapa merupakan organisasi yang harus memainkan peranan utama dalam menyekat atau menghadkan eksplorasi anak-anak ke alam dunia teknologi rencam dan ibu bapa harus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan disiplin anak-anak dalam sebuah institusi keluarga.

Guru Besar Sk Pekan Satu Puan Anita menyerahkan cenderakenangan kepada Pengawai Perhubungan Polis Sekolah, Tuan Amy Dazni bin Danial, disaksikan oleh Penolong Kanan HEM, Puan Normah Rahimi

Encik Awang Iskandar Bin Awang Ismail selaku penyelaras program mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Amy Dazni, guru-guru dan murid-murid kerana memberi kerjasama yang jitu bagi mejayakan majlis ini. Selain itu, Encik Awang Iskandar juga berharap dengan kerjasama rapat antara pihak sekolah dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis menjadi mekanisme terbaik untuk mencegah pembabitan murid-murid dalam penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah yang bersifat ekstrem pada masa akan datang.

Loading

image_pdfimage_print