Inisiatif HIP Mentor : SMK Labuan Terima Penghargaan Menteri Pendidikan

YB Dr Maszlee (dua kanan) menyampaikan sijil kpd Encik Ismail (kanan) dan Madam Chin (dua kiri), diperhatikan oleh Datuk Dr Amin (kiri)

YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah menyampaikan sijil penghargaan Inisiatif Program Highly Immersive Programme Mentor (HIP Mentor) kepada Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah dalam satu majlis penyampaian Sijil Penghargaan Program Pengukuhan Persekitaran Dwi Bahasa Sekolah di bawah Highly Immersive Programmes(HIP) di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada 27 September yang lalu.

Turut menerima sijil penghargaan ialah pesara guru Madam Chin Tsuey Wei yang merupakan Mentor bagi program HIP SMK Labuan.

Program HIP Mentor  yang bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, akan diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah pada tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik.

Beliau berkata, projek rintis HIP mentor yang melibatkan 28 mentor yang terdiri daripada guru Bahasa Inggeris yang telah pencen, diadakan di 27 sekolah terpilih selama tiga bulan bermula Julai lepas.

Sekolah terpilih itu ialah 15 di Selangor, Negeri Sembilan (lima), Perak dan Sarawak masing-masing dua dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah.

“Tahun depan kami akan meluaskan lagi program HIP Mentor ini di sekolah serata Malaysia dan berharap lebih ramai lagi guru-guru pencen Bahasa Inggeris dapat membantu menjadi mentor kami.”

“Mereka ini saya gelar superhero mentor kerana mereka telah mengorbankan masa secara sukarela dan percuma untuk membantu (program),” katanya kepada media selepas majlis tersebut.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru pencen yang terlibat dalam HIP Mentor itu, Dr Maszlee berkata, kementerian akan berusaha mendapatkan beberapa insentif seperti bayaran elaun kepada mereka.

“Mereka perlu diberi ganjaran yang selayaknya. Kami juga memerlukan dukungan dari pihak swasta dalam membantu kami menjayakan program ini,” katanya.

Dr Maszlee berkata program itu menunjukkan keberkesanannya melalui laporan tidak rasmi yang dihantar kepadanya menunjukkan pelajar berminat dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Mereka berjaya mendapatkan pelajar untuk terlibat dalam semua aktiviti dalam bahasa Inggeris dan tahap keyakinan mereka dalam perbualan dan menulis dalam Bahasa Inggeris telah bertambah baik berbanding sebelum program itu,” katanya.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Datuk Dr Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Ismail (kanan) bersama Datuk Dr Amin Senin

Loading

image_pdfimage_print