Pupuk Minat Murid Berniaga : Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun Berlangsung Meriah

Puan Dg. Sarifah (duduk enam dari kanan), Puan Wiwik Iswandari (duduk di tengah), Puan Rina Farrina (duduk lima dari kanan), Puan Kamariah (duduk enam dari kiri) bergambar ceria bersama guru-guru dan ahli jawatankuasa PIBG seusai majlis.

Labuan – Penganjuran Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun merupakan manifestasi erat pelbagai pihak, khususnya antara warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun dan masyarakat setempat.

Hari Keusahawanan (HK) ini berlangsung meriah dengan kehadiran ramai pengunjung yang dianggarkan seramai 1500 orang. Pelbagai aktiviti diadakan bermula seawal jam 6.30 pagi dan berakhir jam 3.30 petang pada 29 September yang lalu di perkarangan sekolah tersebut.

Bertemakan ‘Sumbangan Anda, Kebanggaan Kami’, HK ini diadakan untuk meningkatkan pemuafakatan antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat setempat, agensi kerajaan dan syarikat swasta ke arah mengumpul dan menambah dana PIBG, menaiktaraf infrastruktur prasarana sekolah dan sumbangan kebajikan untuk warga sekolah.

Menurut  Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, hari keusahawanan yang julung kali diadakan di SKSB ini diharap dapat memupuk  dan memantapkan semangat kerja sepasukan dan hubungan dua hala di antara warga SKSB dengan pelbagai pihak demi menjayakan program transformasi bersepadu sekolah.

Antara pengisian Hari Keusahawanan ini meliputi aspek keusahawanan,  aspek pemantapan bakat ,  kreativiti dan inovasi dan aspek kemasyarakatan. 

“Penganjuran hari keusahawanan ini merupakan salah satu wadah untuk menyatu dan meningkatkan kerjasama pihak pentadbiran, guru-guru, murid-murid, ibu bapa dan komuniti setempat.  Melalui aktiviti ini pembentukan sikap, nilai murni dan integriti  warga sekolah dapat dijana ke arah melahirkan sebuah persekitaran sekolah yang harmoni dan dinamik”.  Katanya ketika berucap dalam majlis penutupan.

Menurutnya lagi,  penglibatan murid-murid secara aktif dalam aktiviti ini  diharap dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai kaedah perniagaan dan mengaplikasi pembelajaran di dalam kelas Rekabentuk Teknologi (RBT)  dalam  kehidupan seharian (RBT).

“Minat keusahawanan perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi dan melalui program sebegini, secara tidak langsung dapat meningkatkan minat mereka dalam bidang keusahawanan,” katanya lagi.

Murid-murid membantu guru berniaga semasa hari keusahawanan pupuk minat murid.
Guru dan murid berganding bahu mengusahakan Gerai ais krem

Antara aktiviti yang dikendalikan oleh pihak sekolah  ialah Jualan Makanan daripada Gerai Nasi Berlauk, Gerai Mi, Gerai ‘Junk Food’, Gerai Minuman, Jualan ‘Pre loved’, pertandingan mewarna, Wayang dan Sentuhan Si Comel.

Anak-anak begitu teruja menyertai pertandingan Sentuhan Si Comel. Mereka memang cukup minat untuk bermain dengan alat solek. Justeru, inilah peluang mereka menonjolkan minat dan bakat mereka.

Selain daripada itu, pelbagai pertandingan turut diadakan bagi memeriahkan suasana seperti pertandingan yang melibat aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pertandingan ‘Beyblade’, permainan ‘Pemburu Buta’, Ps4 dan permainan ‘Supa Dupa’.

Aktiviti yang dianjurkan oleh PIBG ialah ‘Fun Walk’ , jualan makanan, jualan kraftangan, jualan anak benih pokok dan pertandingan ‘Sedondon Kitane’. Sebanyak 21 gerai jualan luar turut memeriahkan suasana dengan pelbagai jenis jualan.

Puan Dg.Sarifah (dua dari kanan) dan Puan Wiwik Iswandari (kanan) bergambar ceria bersama ahli jawatankuasa ‘Fun Walk’
Puan Maimon (tengah), Puan Dg. Sarifah (kanan) dan Puan Rosilawati (kiri) bergambar bersama robot yang dihasilkan oleh ibu bapa dan murid-murid dalam Family STEM Challenge (Pertandingan Robot Challenge).

Pihak urusetia Hari Keusahawanan turut memanggil pelbagai agensi kerajaan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan yang diberi. Antaranya ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perangkaan dan Jabatan Muzium Labuan.

Hari keusahawanan ini turut disertai syarikat swasta iaitu Kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), CIMB Bank Berhad. Rawatan Darus Syifa’ juga memberikan perkhidmatan pada hari tersebut.

Puan Kamariah Binti Salim Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) berkata, karnival keusahawanan ini merupakan Komuniti Pembelajaran Sekolah (School Learning Community) dimana pihak sekolah, murid-murid, ibu bapa dan masyarakat bersama-sama terlibat  untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala aspek di sekolah dan pada masa yang sama membantu meningkatkan peluang pembelajaran murid-murid.

Puan Kamariah bersama guru-guru dengan menu menarik yang disediakan oleh “Gerai Mee Lupa Daratan” ialah Mee Kari Behantu, Laksa Rindu-rinduan, Mee Goreng Best Giler dan Mee Budget Special.
AJK gerai nasi bergambar ceria bersama juadah yang dijual
Gerai Air Haus cia..cia..cia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ajk tidak “menang tangan” melayan pelanggan untuk mendapatkan minuman.
Cikgu Wong (kiri) Cikgu Shafawati (dua dari kiri) bergambar ceria bersama pembantu jualan di Gerai Junk Food.

“Pihak sekolah amat terharu atas komitmen dan sokongan daripada komuniti setempat khususnya Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) yang diterajui oleh Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman. Karnival keusahawanan yang diadakan juga merupakan cetusan idea daripada beliau dan guru besar”. Katanya. 

Amat membanggakan pihak sekolah menerima lebih 100 hamper dan sumbangan kupon berjumlah RM 2,280.00 untuk anak yatim dan golongan asnaf yang disumbangkan oleh individu dan syarikat.

Majlis penutupan Karnival Keusahawanan diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi setiap acara yang dipertandingkan serta cabutan nombor bertuah.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Orang ramai berpusu-pusu datang untuk tidak melepaskan peluang mengunjungi Hari Keusahawanan SK Sungai Bedaun
Gerai pre loved yang menjual pakaian, tudung, buku-buku cerita dan perkakasan dapur turut menjadi tarikan pengunjung.
Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengadakan saringan kesihatan untuk pengunjung.
Kaunter Bergerak Pusat Zakat tidak ketinggalan memberi perkhidmatan semasa Hari Keusahawanan.
Guru-guru bergambar di hadapan gerai ais krim selepas aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan gerai masing-masing.
Kanak-kanak teruja selfie bersama Spiderman

Loading

image_pdfimage_print