MAKOM SMK Labuan 2019 : Mengiktiraf Pencapaian Kokurikulum

Encik Asbola (6 kiri) dan Encik Ismail (5 kiri) bersama Putera & Puteri Kokurikulum dan Tokoh Kokurikulum Ting 6 bersama tetamu dan ibu bapa.

Labuan, 19 Okt – Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan mengiktiraf pencapaian kokurikulum murid melalui Majlis Anugerah Kokurikulum (MAKOM) SMK Labuan 2019, yang telah diadakan di Dewan Mutiara SMK Labuan.

Anugerah ini mengiktiraf pencapaian murid yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan kokurikulum peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 2019.

Majlis telah disempurnakan oleha En Asbola bin Amit, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan, wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Raisin bin Saidin.

Beliau berkata, perkara yang menarik bagi mengenai SMK Labuan ini adalah slogan ‘Setiap Murid Bernilai’ sangat sesuai dan bertepatan dengan slogan yang dizahirkan kerana setiap murid yang datang ke sekolah pada setiap hari ini mempunyai bakat atau kecenderungan masing-masing.

Keistimewaan dan kebolehan seseorang pelajar itu bukan terletak kepada kecemerlangan dalam akademik semata-mata tetapi juga dalam bidang kokurikulum perlu seiring cemerlang.Segala kelainan bakat dan kebolehan pelajar SMK Labuan ini telah berjaya mengangkat nama SMK Labuan untuk cemerlang dalam bidang kokurikulum di peringkat yang lebih tinggi.

Pengetua Encik Ismail dalam ucapan aluan berkata SMK Labuan sentiasa berjaya meraih kejayaan di peringkat kebangsaan setiap tahun dalam pelbagai bidang. Kejayaan ini telah membuka minda dan meningkatkan keyakinan warga sekolah bahawa menjadi yang terbaik di Malaysia bukanlah impian yang sukar dicapai tetapi merupakan matlamat yang boleh dicapai dengan komitmen dan usaha yang gigih.

Pada tahun ini 3 orang murid tingkatan 4 iaitu Deena Liyana binti Talip, Nur Ainul Mardhiah binti Addris dan Siti Aqilah binti Hassan bersama guru pembimbing Cikgu Isabella Kim telah muncul sebagai Johan Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan bagi kategori Inovasi Tenaga Biojisim. Projek mereka iaitu CANEnergy Biomass iaitu penghasilan tenaga daripada hampas tebu telah berjaya memikat hati juri dan sekaligus mengatasi 15 buah negeri yang lain.

“Saya mengharapkan agar rentak kemenangan dan pencapaian pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Labuan dalam bidang kokurikulum ini akan berterusan, dan menjadikan pengalaman bersekolah atau bertugas di SMK Labuan sebagai kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan.” Encik Ismail Abdullah.

Marvin Hing Majin telah mendapat anugerah Putera Kokurikulum di atas penglibatan yang  aktif dalam olahraga bagi acara Lompat Jauh, Lompat Kijang dan Lompat Tinggi. Pencapaian tertinggi Marvin ialah mendapat pingat perak Lompat Jauh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kategori Lelaki 18 Tahun.

Beliau bersama pasukan juga telah muncul Johan dalam Bahas Bahasa Inggeris dan National Science Challenge Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan seterusnya mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan.

Puteri Kokurikulum telah dianugerahkan kepada pelajar tingkatan 4, Deena Liyana binti Talip. Pencapaian tertinggi beliau ialah muncul Johan Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan bagi kategori Inovasi Tenaga Biojisim.

Beliau juga telah menjadi johan dalam Pesta Pantun WP Labuan 2018, mewakili Labuan dalam Pertandingan School Lab, Kem Kadet Remaja dan Pertandingan Cabaran Keselamatan Siber Nasional Peringkat Kebangsaan 2018.

Tokoh Kokurikulum Tingkatan 6 menjadi milik Mohammad Azuan bin Izack di atas kejayaan menjadi Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2018, Johan Pengisahan Kenegaraan 2019 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran, merangkap pegawai angkat SMK Labuan, Puan Murni Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Zalina Zunkepely dan Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Cheah Teong Aik.

Antara VIP yang hadir

Berita Oleh : SMK Labuan

Loading

image_pdfimage_print