MPSM Raikan Persaraan Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun : Bakti Disanjung, Budi Dijunjung

Labuan, 18 Okt – MPSM telah mengadakan majlis ringkas meraikan persaraan Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB), Puan Hajjah Jijah binti Mohamad Suhai di Hotel Dorsette.

Majlis ini telah dihadiri oleh Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Pengarah Kolej Vokasional dan semua pengetua dari sekolah-sekolah menengah di wilayah ini.

Puan Hajjah Jijah yang berasal dari Sarawak telah mula berkhidmat di Labuan sejak tahun 1998.

Beliau telah menabur bakti di beberapa buah sekolah sebelum menjawat jawatan pengetua di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Antara sekolah-sekolah tersebut di Labuan ialah SMK Lajau dan SMK Pantai IBWS.

Menceritakan pengalaman bertugas di Labuan, beliau menyatakan rasa syukur dan bangga kerana berjaya menamatkan perkhidmatan awam sebagai pendidik dengan rasa kepuasan yang tersendiri.

Puan Hajjah Jijah bersama Encik Raisin Saidin dan Pengetua-pengetua Labuan

Mula berkhidmat sebagai guru biasa di SMK PENRISSEN, Kuching, Sarawak dan kemudiannya menjawat jawatan PK PENTADBIRAN di SMK PANTAI.

Di SMK Pantai, beliau telah berjaya membawa sekolah ini ke satu tahap yang membanggakan dengan mendapat pengiktirafan sebagai International Baccalaureate World School (IBWS) daripada IBO pada tahun 2015.

Pada tahun 2016, beliau telah diberi kepercayaan untuk menerajui SMK Taman Perumahan Bedaun.

Sepanjang di SMKTPB, beliau telah membawa perubahan ketara dari aspek kemenjadian murid dan kualiti sekolah secara keseluruhan. Ini termasuklah menerajui SMKTPB sebagai Sekolah Transformasi Kohort pertama di Labuan.

“Menjadi seorang guru memerlukan pengorbanan besar dari segi masa dan tenaga. Seseorang guru sentiasa memikirkan perkara terbaik untuk setiap anak muridnya tanpa memikirkan balasan kecuali kejayaan anak-anak muridnya”, Puan Hajjah Jijah.

Beliau berharap agar pendidikan di pulau bertuah ini terus berkembang maju mencapai prestasi terbaik dari semasa ke semasa.

Puan Jijah ketika diraikan oleh warga SMK Taman Perumahan Bedauan

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin yang turut hadir dalam majlis berkenaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Hajjah Jijah atas jasa, sumbangan dan pengorbanan yang telah diberikan untuk warga Labuan secara keseluruhannya.

Beliau turut berharap agar Puan Hajjah Jijah terus memberi sumbangan bermakna kepada bidang pendidikan walaupun telah bergelar pesara kerana gelaran cikgu akan tetap kekal selamanya.

Dalam majlis tersebut juga, Encik Ismail Abdullah selaku YDP MPSM telah menyampaikan hadiah persaraan daripada pihak MPSM.

Encik Ismail turut melahirkan rasa kehilangan seorang rakan pengetua yang dedikasi dalam mendidik warga Labuan.

Berita Oleh : MPSM Labuan

Encik Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada Puan Hajjah Jijah

Loading

image_pdfimage_print