Majlis Graduasi SMK Mutiara Raikan Murid-Murid Tingkatan 5

Encik Yusop dan Encik Mohd Nizam ketika perarakan masuk Majlis Graduasi SMK Mutiara

Labuan, 19 Oktober – SMK Mutiara telah menganjurkan Majlis Graduasi bagi tahun 2019 khusus untuk meraikan murid-murid Tingkatan 5 hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Arena, SMK Mutiara telah dihadiri lebih 500 orang termasuk murid-murid, ibubapa, para jemputan dan guru-guru.

Acara tahunan yang gilang gemilang ini telah dirasmikan oleh Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran selaku rasmi Pengarah Pendidikan.

Dalam ucapannya, Encik Yusup menyeru agar semua murid dapat memberi fokus sepenuhnya kepada peperiksaan SPM yang bakal berlangsung pada November ini. Setiap murid wajar menggunakan peluang dan ruang yang terbentang untuk mencatat keputusan terbaik dalam SPM nanti.

“Murid-murid seharusnya sedar bahawa SPM adalah sijil pertama yang diiktiraf oleh kerajaan untuk membolehkan murid menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi. Justeru setiap murid tidak boleh lalai atau leka dengan cabaran masa kini terutamanya yang berbentuk hiburan secara keterlaluan”, katanya lagi.

Perasmian Majlis Graduasi SMK Mutiara oleh Encik Yusop
Murid-murid Tingkatan 5 SMK Mutiara

Terdahulu, Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berusaha  bersungguh-sungguh untuk hadir ke majlis GRADUASI kali ini yang diadakan secara tahunan. Beliau turut mendorong murid-murid untuk terus berusaha dan merebut peluang yang terbentang luas di hadapan mereka.

Di akhir majlis, semua murid Tingkatan 5 telah menerima sijil tamat persekolahan masing-masing. Di samping itu, murid-murid yang berjaya mendapat gred A+, A atau A- dalam mata pelajaran yang diambil semasa Peperiksaan Percubaan SPM lalu turut diberi inisiatif berbentuk wang tunai daripada PIBG. Seramai 82 calon SPM telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Adik Mirza Afandi telah dipilih sebagai murid terbaik dalam Peperiksaan Percubaan SPM tahun ini. Ketika ditemui, adik Mirza melahirkan rasa syukur dan berharap agar prestasi terbaik dapat dikekalkan di dalam SPM sebenar nanti.

Majlis kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan silat, deklamasi sajak dan nyanyian solo.

Turut hadir di dalam majlis ini ialah Encik Afandi Nasir, Pegawai Angkat Sekolah dari Jabatan Pendidikan W. P. Labuan dan YDP PIBG, Puan Liza anak Didi. Selain itu, Pegawai Perhubungan Sekolah dari IPD Labuan, ASP Haslina bin Hassan turut hadir sama.

Adik Mirza Afandi menerima sijil daripada Encik Yusop

Loading

image_pdfimage_print