SMK MUTIARA Tempat Ke-3 Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat W.P. Labuan Tahun 1441H.

Perarakan Maulidur Rasul 1441H: Ustaz Zainal bersama kontinjen SMK Mutiara

Labuan, 9 November – Dengan kontinjen seramai 80 orang, berpakaian tradisi melayu warna biru dan bertanjak, SMK Mutiara berjaya memperoleh tempat ke-3 dalam kategori perarakan Sekolah Menengah, IPTA dan IPTS pagi tadi.

Perarakan ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1441H. Perarakan telah dimulai pada jam 7.00 pagi dan berakhir pada jam 9.00 pagi dengan jarak laluan melebihi 3 kilometer mengelilingi bandar Labuan. Sebanyak 78 kontinjen menyertai perarakan tahun ini mewakili 6 kategori termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, surau/masjid, IPTA/IPTS, NGO, pihak swasta, jabatan kerajaan dan pasukan beruniform.

Kontinjen SMK Mutiara telah diketuai oleh Pengetuanya sendiri, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Ketika ditemui, Encik Mohd Nizam melahirkan rasa syukur atas kejayaan ini walaupun hanya memperoleh tempat ketiga. Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan dalam perarakan bukan semata-mata pertandingan tetapi keutamaannya adalah kepada memperingati kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang telah membawa sinar kebenaran ke seluruh alam.

Swafoto : Encik Nizam dan kontinjen Maulidur Rasul SMK Mutiara
Kontinjen muslimah SMK Mutiara

Beliau turut menghargai kerjasama semua dalam perarakan kali ini yang telah diselaraskan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara, Ustaz Zainal bin Abdul Wahab. Menurut beliau, persediaan untuk menyertai perarakan kali ini telah dimulakan sejak sebulan yang lalu dengan menyiapkan sepanduk perarakan secara kerjasama dalam kalangan guru.

Seramai 40 murid dan 40 guru SMK Mutiara telah menyertai perarakan yang diadakan pada setiap tahun ini. Anak-anak guru juga turut serta memeriahkan perarakan yang disertai dengan laungan selawat memuji kebesaran nabi Muhammad s.a.w serta diselang seli dengan lagu-lagu dakwah.

Kontinjen SMK Mutiara berjaya menamatkan perarakan dengan selamat. Sebaik sahaja semua kontinjen selesai berarak, hujan rahmat telah membasahi bumi Labuan. Namun hujan lebat tidak menghalang semua kontinjen untuk terus berada di Dataran Labuan sehingga majlis selesai kira-kira jam 10 pagi.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Ustaz Zainal menerima Sijil daripada Pegawai Jabatan Agama Islam WP Labuan

Loading

image_pdfimage_print