Seramai 385 Warga SK Sungai Bedaun Diraikan Dalam Sambutan Hari Jadi Sekolah

Pn.Dg.Sarifah Bt.A.Mahmod (berdiri tengah) meraikan sambutan hari jadi murid pra sekolah S.K.Sungai Bedaun

Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun telah mengadakan Sambutan Hari Jadi Warga Sekolah pada 7hb.November 2019 bertempat di  Dewan Permata. Program Sambutan Hari jadi Warga Sekolah merupakan salah satu program di bawah Program Sekolah Penyayang , Kementerian Pendidikan Malaysia.  Program ini dilaksanakan sebagai usaha warga sekolah menghargai setiap individu yang menjadi warganya dengan meraikan sambutan hari lahir mereka.

Seramai 370 orang murid dari pra sekolah hingga Tahun Enam diraikan dalam majlis yang sungguh meriah. Seramai 25 orang guru dan anggota kumpulan pelaksana sekolah yang terdiri daripada pegawai pekeranian, pembantu ict dan pembantu pra, turut diraikan dalam majlis ini.  Ibu bapa murid yang menyambut hari jadi juga diraikan bersama dalam acara memotong kek.

Sambutan hari jadi pada kali ini merupakan sambutan kali kedua bagi tahun ini.  Sambutan hari jadi kali pertama diadakan pada bulan Jun lepas manakala sambutan pada kali ini ialah bagi meraikan warga sekolah yang lahir dari bulan Julai hingga Disember. 

Sambutan hari jadi warga S.K.Sungai Bedaun bertambah meriah dengan kehadiran maskot Marry Brown.

Sambutan bertambah meriah dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat S.K.Sungai Bedaun juga turut diadakan. Pelbagai acara diadakan iaitu persembahan maskot jemputan Marrybrown, persembahan kumpulan keybord S.K.Sungai Bedaun dan persembahan nyanyian dan tarian berkumpulan.

Dalam ucapan perasmiannya, Guru Besar S.K.Sungai Bedaun , Puan Dg.sarifah Bt. A. Mahmod berharap agar program Sambutan Hari Jadi ini akan dapat memupuk nilai kasih sayang dan nilai menghargai di kalangan warga sekolah serta dapat mewujudkan kerjasama di kalangan  ibu bapa murid dalam menjayakan program sekolah.  Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang komited dalam menjayakan program ini.

Sebanyak 250 biji kek hari jadi telah disumbangkan oleh ibu bapa murid S.K.Sungai Bedaun untuk anak-anak mereka yang menyambut hari jadi .

Dalam majlis ini , murid yang menyambut hari jadi juga mendapat hadiah daripada pihak sekolah, manakala guru-guru serta anggota kumpulan pelaksana mendapat hadiah sumbangan daripada Kelab Guru S.K.Sungai Bedaun.  Program sambutan hari jadi ini adalah kelolaan Unit Hal Ehwal Murid , S.K.Sungai Bedaun dan dilaksanakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Sejumlah 250 biji kek telah disumbangkan oleh ibu bapa murid S.K.Sungai Bedaun bagi meraikan sambutan hari jadi anak-anak mereka di sekolah

Loading

image_pdfimage_print