SKSB Mengungguli Kejuaraan Pertandingan Keyboard Music Time 2019

Encik Raisin Saidin bersama pasukan Keyboard SK Sungai Bedaun

Labuan 13 Nov –  Pertandingan Keyboard Music Time  Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur tahun 2019 yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Labuan berakhir pagi tadi dalam suasana yang sungguh meriah.

Pertandingan Keyboard Music Time  Zon Malaysia Timur (Sabah, Sarawak dan W.P.Labuan) dianjurkan oleh Yamaha Music Malaysia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun ini , Jabatan Pendidikan W.P.Labuan telah diberi kepercayaan untuk mengelolakan pertandingan tersebut bagi Zon Malaysia Timur dengan kerjasama Financial Park (Labuan) Sdn.Bhd.

Pertandingan keyboard yang berlangsung pagi tadi dibahagikan kepada dua kategori iaitu tahap 1(murid tahun 1 hingga 3) dan tahap 2 (murid tahun 4 hingga 6).  Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) yang mewakili W.P.Labuan telah dinobatkan sebagai Johan kategori tahap 2. Pasukan ini membawakan dua buah lagu iaitu Nenek Si Bongkok Tiga dan Troika.  

Naib johan disandang oleh negeri Sarawak manakala tempat ketiga disandang oleh negeri Sabah.

Pasukan keyboard SK Sungai Bedaun ceria bersama piala dan sijil kejuaraan kategori tahap 2

Manakala kategori tahap 1, Johan disandang oleh Sekolah Kebangsaan Pekan Dua (SKPD) yang mewakili W.P.Labuan. Naib johan disandang oleh negeri Sabah manakala tempat ketiga disandang oleh negeri Sarawak.

Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod melahirkan rasa kesyukuran dan bangga atas kejayaan SKSB menggondol piala kejuaraan. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak khususnya jurulatih, guru-guru, ibu bapa yang bersama-sama berganding bahu dalam memastikan pengurusan peserta pada peringkat latihan, pakaian, prob, keselamatan hinggalah saat persembahan berjalan lancar.

“Kejayaan pada hari ini adalah tanda kesepakatan dan dedikasi seluruh warga SKSB. Sokongan ibu bapa yang tidak berbelah bahagi terhadap apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah sangat membantu dalam  kejayaan ini. Sesungguhnya kejayaan ini adalah usaha kita bersama dan ia hadiah yang amat berharga bagi menutup tirai persekolahan tahun 2019.” Katanya penuh bangga.

Menurut jurulatih pasukan Keyboard SKSB, Puan Wong Lee Choo, murid-murid yang menyertai pertandingan ini rata-ratanya  tiada keyboard sendiri di rumah. Mereka perlu berlatih menggunakan keyboard di sekolah setiap hari sehingga jam 2 petang.

“Mujur ibu bapa murid yang saya pilih sangat memahami. Mereka beri kepercayaan penuh kepada saya untuk mengadakan latihan pada bila-bila masa malah turut hadir memberi semangat ketika sesi latihan dan hari pertandingan. Hari ini saya sangat bangga dan begitu teruja melihat ‘anak-anak keyboard’ berada di atas pentas dan cekap bermain keyboard. Harapan untuk mencipta kejuaraan menjadi realiti”. Katanya lagi.

Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan  Keyboard Music Time  Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur tahun 2019 telah disempurnakan oleh Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan, Jabatan pendidikan W.P.Labuan.

Turut hadir dalam majlis tersebut Encik Asbola @ Hasbollah  Bin Amit, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, pegawai daripada Jabatan Pendidikan Sabah, Sarawak, W.P.Labuan dan Yamaha Music Malaysia.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Guru-guru dan penyokong-penyokong pasukan SKSB merakamkan gambar kenangan sambil meraikan kegembiraan bersama kumpulan Keyboard.

Loading

image_pdfimage_print