Amanat Akhir Tahun Pengarah Pendidikan dan Malam Penghargaan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan

Labuan, 18 Nov – “Jadilah guru yang keberadaannya amat dirasai, ketiadaannya amat dirindui”, demikian amanat akhir tahun Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin yang berlangsung di salah sebuah hotel di Labuan, semalam.

Peningkatan Kualiti Sekolah dan Kemenjadian Murid akan terus menjadi fokus Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan tahun 2020 selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Justeru, Encik Raisin Saidin berkata tugas yang diberikan adalah amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dihayati oleh semua pemimpin di pelbagai peringkat terutama guru-guru kerana guru inilah sebenarnya yang berada di barisan paling hadapan bersama murid di bilik darjah, dalam merealisasikan PPPM 2013-2025.

Menyentuh pelibatan dan pencapaian anak-anak murid di Labuan yang terlibat dalam sukan, kokurikulum dan ko akademik sepanjang tahun 2019, Encik Raisin Saidin menyatakan sejumlah 4272 murid mengambil bahagian dalam peringkat negeri, 554 murid di peringkat kebangsaan dan 160 murid di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata lagi, 10 Sektor di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melaksanakan 572 aktiviti seperti dalam perancangan tahunan 2019.

Catatan sebanyak 1758 bilangan pengunjung yang datang ke Labuan bagi tujuan pelancongan dalam pendidikan sedikit sebanyak membantu industri pelancongan di pulau ini.

Encik Raisin Saidin menyantuni Pengetua dan Guru Besar Labuan

Penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah dilaksanakan termasuk di Labuan bagi memenuhi keperluan  Transformasi Sekolah 2025 (TS25) iaitu untuk memperkasakan kepimpinan dan pengurusan di setiap peringkat.

Sementara itu, mantan Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Omar Baki Matusin yang mewakili pesara pendidikan melahirkan rasa syukur, terima kasih di atas penghargaan yang diberikan dan berharap agar Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan terus maju di masa mendatang.

Di Majlis yang sama, guru SM St Anne, Cikgu Lim Swee Hong dianugerahkan Guru Sepanjang Zaman bagi menghargai pengorbanan beliau selama 35 tahun dalam dunia pendidikan.

Encik Raisin Saidin turut memberi Anugerah Khas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kepada Pengetua SM St Anthony, Puan Dona Undoh, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Lajau, Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, Guru Besar SK Pekan Dua, Puan Hjh Dayang Damit @ Saidah bt Mohd Yassin, Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah bt A.Mahmod dan Puan Pan Yii Ying, Guru Besar SJK(C) Chi Wen.

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidikan yang telah bersara dan berpindah jabatan tahun ini di atas sumbangan dan bakti yang dicurahkan sepanjang berkhidmat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Begitu juga peranan media di Labuan yang banyak membantu dalam mempromosi dan membuat hebahan mengenai pendidikan di Labuan.

Majlis Amanat Akhir Tahun diserikan dengan kehadiran 150 orang terdiri daripada Pengarah Pendidikan, Timbalan-Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Penolong Pengarah, Kaunselor Negeri, para Pengetua dan Guru Besar, guru-guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), warga pendidikan yang telah bersara dan berpindah jabatan, para jemputan media serta murid-murid yang membuat persembahan.

Puan Cornelea Grace Gordon, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Infrastruktur dan Pembangunan, merangkap Pengurus Majlis tersebut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat menjayakan program ini.

“Labuan Superb! Guru Sayang Muridnya”

Fotografi Oleh : Mr. Jeevareani A/L Samikanu

Encik Raisin Saidin bersama warga pendidikan yang menyambut hari lahir pada bulan November
Encik Raisin Saidin bersama staf Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Loading

image_pdfimage_print