Pemimpin Sekolah Di Labuan Hadiri Kursus Pengurusan Siri II Anjuran Institut Aminuddin Baki

Encik Shamsuri(duduk, enam dari kiri), Encik Ahmad Tarmizi (duduk, enam dari kanan), Encik Azeryn (duduk, tengah), Puan Kamariah (berdiri, kanan) bergambar ceria bersama peserta kursus.

Labuan – Seramai 48 School Leader Team (SLT) yang terdiri daripada Pengetua, Guru Besar dan guru-guru penolong kanan sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan menghadiri Kursus Pengurusan Perubahan Siri 11 pada 14 hingga 16 November di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP).

Kursus tiga hari ini dikelolakan oleh Unit  Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia dengan kerjasama Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL). Dua orang penceramah daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) Bandar Instek iaitu Encik Shamsuri Bin Jamil, Ketua Jabatan, Pusat Konsultasi dan Pembangunan Organisasi Pendidikan  dan encik Ahmad Termizi, Pensyarah Kanan di jabatan yang sama mengendalikan sesi kursus tersebut .

Dalam  kursus tersebut peserta telah didedahkan tentang Pengurusan Altruistik, penyelesaian masalah dan membuat keputusan, penambahbaikan sekolah dan mengurus perubahan. Sesi ceramah yang santai dan penuh ilmiah menarik perhatian peserta yang sentiasa fokus dan aktif merespon setiap pertanyaan. Malah para peserta turut berkongsi ide dalam suasana penuh ceria.

Peserta begitu tekun mendengar penerangan daripada Encik Ahmad Tarmizi untuk aktiviti berkumpulan.
Sesi “Pecah Ais” yang di kendalikan oleh Encik Shamsuri menarik perhatian peserta

Kursus Pengurusan Perubahan bertujuan membangunkan kapasiti pemimpin secara holistik meliputi Kompetensi diri, komitmen dan perwatakan pemimpin dalam menyediakan pemimpin sekolah yang mampu menangani perubahan.

Menurut Encik Shamsuri, pembangunan kapasiti pemimpin pendidikan yang bercirikan keperluan pendidikan watan amat penting dalam usaha memastikan kemenjadian murid berdasarkan acuan sendiri yang mampu bersaing pada peringkat global. Justeru, pemimpin sekolah perlu sedar mengenai cabaran yang dihadapi termasuk meningkatkan kualiti kepimpinan masing-masing.

“Setiap pemimpin pendidikan perlu memiliki kefahaman mendalam dan pandangan jauh terhadap apa-apa perubahan dalam sistem pendidikan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi,” katanya semasa sesi ceramah.

Dalam Kursus ini, peserta turut didedahkan dengan perancangan strategik iaitu cara mengenalpasti isu yang terdapat di sekolah berdasarkan laporan SKPMg2, merancang pelan strategik dan proses pembangunan strategik yang telah disampaikan oleh encik Ahmad Tarmizi.  Diharapkan kursus ini memberi impak positif kepada semua pemimpin pendidikan dan menjadi wadah ke arah memperkasakan kepimpinan berkualiti dan futuristik bagi mencapai aspirasi murid secara global.

Berita Oleh : Puan Kamariah, Sektor Perancangan

Puan Kamariah menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Shamsuri semasa majlis penutupan kursus.

Loading

image_pdfimage_print