PASUKAN KADET BERUNIFORM LABUAN JUARA KESELURUHAN : Orienteering Kadet Pasukan Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan 2019

Encik Raisin Saidin bergambar kenangan bersama jurulatih, AJK pelaksana dan kontinjen WP Labuan yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan

Labuan, 19 Nov – Pasukan Kadet Beruniform Wilayah Persekutuan Labuan dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Orienteering Kadet Pasukan Badan Beruniform Peringkat Kebangsaan 2019 yang telah berlangsung pada 16hb November sehingga 18hb November melibatkan destinasi program di tempat-tempat menarik di Labuan.

Lokasi utama pelaksanaan program meliputi seluruh Pulau Labuan dan Pulau Papan melibatkan 100 orang peserta dari negeri-negeri seluruh Malaysia, walau bagaimanapun Terengganu dan Pulau Pinang tidak dapat menghantar peserta ke program ini.

Program seumpama ‘Amazing Race’ ini berjaya menarik peserta mengunjungi tempat-tempat menarik di Labuan, antaranya Memorial War, Muzium Labuan, Muzium Chimney, Kompleks Sukan Air, Kampung Sungai Bedaun, Surrender Point, Taman Damai Layang-Layang, Pantai Pancur Hitam, Taman Burung, Taman Botanikal dan Pulau Papan.

Dalam memberi peluang mendekati budaya dan sejarah setempat, para peserta berpeluang menumpah ambuyat, membungkus kelupis dengan masyarakat kampung Sungai Bedaun dan menerokai keindahan pulau Labuan, berjalan kaki melalui Chimney Trail yang penuh dengan warisan sejarah serta berkayak ke Pulau Papan.

Aktiviti menerokai keindahan pulau di sepanjang pantai
Para peserta seronok dan ceria sepanjang aktiviti berlangsung
Aktiviti swafoto setelah selesai melaksanakan tugas yang diberikan

Para peserta telah diintegrasikan dari pelbagai negeri agar dapat bergaul mesra, berkenal-kenalan seterusnya menimbulkan rasa hormat-menghormati, tanggungjawab, kasih sayang dan kegembiraan dalam kalangan mereka.

Program anjuran Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BKK), Kementerian Pendidikan Wilayah Persekutuan ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, yang hadir sebagai wakil rasmi Pengarah BKK, Tuan Haji Mohd Rashid Mean menyifatkan program orienteering ini telah berjaya memberi pengalaman di luar bilik darjah sebagai pelengkap kepada kandungan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Acara perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin.

Dalam ucapannya beliau telah memuji peranan guru yang bersungguh-sungguh mengangkat martabat dan harga diri murid melalui program-program di luar bilik darjah yang memberi pengalaman berinteraksi dengan alam.

Beliau turut menyeru semua peserta dari luar Labuan mengambil peluang meneroka keindahan Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai yang kaya dengan sejarah.

“Setiap anak murid perlu ditetapkan KPI tertentu dalam pelibatan dalam aktiviti kokurikulum untuk memberi ruang pengembangan potensi optimum melangkaui aspek akademik semata-mata” Encik Raisin Saidin

Menurutnya lagi, para peserta seharusnya dapat merasai kesan yang mendalam selepas melalui program ini dan diterjemahkan di dalam bentuk perubahan tingkah laku positif di dalam diri masing-masing.

Encik Raisin Saidin merakamkan gambar kenangan bersama kontinjen Selangor Darul Ehsan
Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang pemenang

Program ini telah mendapat bantuan dan komitmen yang tinggi dari 21 agensi di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kepakaran masing-masing.

Pasukan Kadet Beruniform W.P. Labuan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan menjuarai 3 kategori aktiviti berbentuk pertandingan antara negeri.

Pasukan W.P. Labuan telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan ikatan seraya dan serong, simpulan tali temali dan video pendek 1 minit. Pasukan Selangor pula mendapat tempat kedua keseluruhan manakala Pasukan Johor di tempat ketiga.

Pengurus Program, Encik Mohd Aminuddin Abdul Malek turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, terima kasih atas kerja berpasukan dan kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan program yang julung-julung kali dianjurkan ini.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah DSP Mohd Firdaus bin Ramli daripada IPK Polis Labuan, Encik Muhammad Nazly Ho bin Abdullah, Pengarah Jabatan Muzium Labuan dan Encik Asbola Amit, Timbalan Pengarah Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan.

Berita Bersama : Encik Mohd Nizam bin Yasim

Encik Mohd Aminuddin (dua dari kanan) menyambut ketibaan pasukan dari negeri Kedah

Loading

image_pdfimage_print