Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid SK Sungai Bedaun Tingkatkan Motivasi Murid

En Yusuf (tiga dari kanan) merakamkan kenangan bersama penerima anugerah, turut kelihatan Puan Dg Sarifah (tengah) Pn. Wiwik, (tiga dari kiri) dan Pn. Noraliza (dua dari kiri) Pn. Zubaidah paling kiri barisan belakang dan En. Mohd Aizam (kanan sekali barisan belakang)

Labuan, 17 Nov – Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid 2019 Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) yang diadakan di Dewan Permata di sini, 16 Nov lalu berlangsung dengan cukup meriah.

Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid merupakan acara tahunan sekolah. Program seumpama ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada murid-murid yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah, dan kokurikulum, sekaligus mengharumkan nama sekolah samada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Antara anugerah yang ditampilkan ialah anugerah murid proaktif, anugerah murid inovatif, anugerah murid aktif, murid bersahsiah unggul, murid berketerampilan dan murid prihatin. Anugerah khas pula ialah anugerah adiwira cilik, ikon STEM, tokoh sukan dan anugerah mekar terbilang.

Adik Muhammad Shazydhani bin Mohd Suffian diiringi ibunya Puan Rosilawati menerima Anugerah Khas Mekar Terbilang tahun 2019 daripada En Yusup

Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A.Mahmod berkata, majlis itu juga diharap mampu mengukir kenangan manis dan mencatat nostalgia penuh makna dalam lipatan sejarah hidup mereka di sekolah rendah. Ianya diadakan bagi meraikan, mengiktiraf dan juga sebagai perangsang kepada murid untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang diceburi.

“Tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis pagi ini berjalan dengan  lancar dan teratur. Gandingan mantap daripada Ibu bapa, masyarakat sekeliling dan pihak swasta seperti Maybank, Bank Rakyat, Bank Islam dan lain-lain telah meletakkan SK Sungai Bedaun berada di tempat yang selayaknya. Ianya menjadi sebutan malah digeruni oleh sekolah-sekolah di sekitarnya”. Katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Menurutnya lagi, pemilihan murid yang menerima anugerah pada kali ini bukan berorentasikan peperiksaan semata-mata tetapi merangkumi semua aspek agar dapat melahirkan “Modal Potensi Insan Cemerlang”.

Adik Mohd Haikal Ifzan Bin Mat Jaya dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Tokoh Sukan 2019 menerima sijil dan trofi daripada Encik Yusup.

Sepanjang tahun 2019, SKSB telah menunjukkan kecemerlangan yang sangat membanggakan di mana sebanyak 33  pengikirafan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa berjaya di capai.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Yusup Bin Hj Muhamad, wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada warga SK Sungai Bedaun di atas kecemerlangan yang dikecapi sepanjang tahun 2019. SKSB kini menjadi destinasi pelancongan pendidikan yang sering dilawati oleh pihak luar sama ada di dalam negara mahupun antarabangsa. 

“Saya tertarik dengan anugerah yang diperkenalkan pada hari ini iaitu Anugerah Potensi Cemerlang, Anugerah Kemenjadian Murid dan Anugerah Potensi Modal Insan. Anugerah ini dilihat selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025 yang memfokuskan  enam ciri murid yang menjadi aspirasi negara, iaitu murid berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan berkerohanian, serta mempunyai identiti nasional”. Katanya ketika berucap merasmikan majlis.

Menurutnya lagi, kemenjadian murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh amalan terbaik dalam pendidikan.

Majlis penyampaian sijil tamat pra sekolah telah disempurnakan oleh Encik Yusup Bin Mohamad. Turut kelihatan Puan Dg. Sarifah (kiri)

Pada majlis itu, seramai 330 orang murid menerima hadiah dan sijil penghargaan yang turut disampaikan oleh  Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua PIBG SKSB, Puan Kamariah Salim, mantan Penolong Kanan HEM SKSB dan Puan Rina Farrina Dakim, mantan penolong kanan pentadbiran SKSB.

Anugerah Adiwira Cilik dan anugerah Ikon Stem dianugerahkan kepada adik Muhammad Amir Muadz bin Kamarulzaman dari kelas 5 Baiduri. Adik Hannan ‘Aqilah Binti Kamarulzaman tahun 2 Baiduri turut dianugerahkan Ikon Stem bagi tahap 1.

Penerima Anugerah Tokoh Sukan dianugerahkan kepada adik Mohd Haikal Ifzan Bin Mat Jaya tahun 6 Mutiara. Antara pencapaian terbaik adik Haikal ialah tempat ke-11 Kejohanan Merentas Desa Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Perlis. Adik Haikal juga menjadi johan dalam pertandingan merentas desa peringkat negeri dalam kejohanan merentas desa Majlis Sukan, Sekolah-sekolah W.P.Labuan tahun 2019. Beliau merupakan atlet olahraga sekolah dan peserta pasukan sepak takraw sekolah yang berjaya mendapat tempat ke tiga dalam pertandingan peringkat negeri.

Anugerah Khas Mekar Terbilang tahun 2019 telah dianugerahkan kepada adik Muhammad Shazydhani bin Mohd Suffian. Beliau merupakan seorang murid yang berketrampilan dan menunjukkan potensi dan pencapaian yan memberangsangkan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid dimeriahkan dengan persembahan Keyboard , Nyanyian solo oleh murid pra sekolah, persembahan nasyid dan persembahan bicara berirama.

Acara cabutan bertuah mengakhiri majlis tersebut.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Encik Yusup (tujuh dari kiri), Puan Dg. Sarifah (enam dari kiri), merakamkan gambar bersama semua guru SKSB seusai majlis Apresiasi Kemenjadian Murid.
Puan Kamariah (kiri), Puan Siti Rahimah (dua dari kiri), Encik Shahrom (dua dari kanan) antara pegawai di Jabatan Pendidikan Labuan yang hadir dalam majlis tersebut.

Loading

image_pdfimage_print