Edugolf Jabatan Pendidikan WP Labuan Mengambil Inisiatif Mempopularkan Sukan Golf Di Peringkat Akar Umbi

Encik Raisin Saidin bergambar kenangan bersama sebahagian ibubapa dan anak-anak mereka sebelum pertandingan

Labuan, 3 Disember 2019 : Edugolf Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan pertandingan golf bertempat di Labuan Golf Club.

Pertandingan musim cuti sekolah ini telah disertai oleh seramai 15 orang pemain golf, terdiri daripada murid-murid meliputi semua kategori.

Kategori yang dipertandingkan ialah bawah 12 tahun lelaki dan perempuan, bawah 15 tahun lelaki dan perempuan serta kategori bawah 18 tahun lelaki dan perempuan.

Penganjuran kali ini merupakan penutup tirai tahun 2019 dan terhad kepada mereka yang bersekolah di Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.

Kejohanan sebelum ini telah dbuka kepada penyertaan pemain golf dari negeri jiran iaitu Sabah. Klik sini : Edugolf Labuan Masters 2019 : Semarak Bulan Sukan Negara

Murid SK Membedai, Nurfatin Syamimi memenangi kategori 12 Tahun Perempuan dan naib johan disandang oleh Nurfarah Batrisha Ismail juga dari SK Membedai.

Bagi Kategori Lelaki 12 Tahun diungguli oleh Muhamad Afif Bin Aznan dari SK Bebuloh, manakala tempat kedua Raja Muhamad Aqil Rizal dari SK Membedai dan tempat ketiga Amirul Hishamudin Roslan dari SK St Anne.

Encik Raisin Saidin dan Encik Hasbollah Amit bersama pemenang pertandingan

Sementara itu bagi kategori 15 Tahun Perempuan, Tempat Pertama dimenangi oleh Aida Hazirah Abzillah dari SMK Pantai IBWS, manakala Pemain dari SM St Anne Lailatul Huda Munawarrah di tempat kedua dan Nafisah Amani Shahrin dari SM St Anne di tempat ketiga.

Pemain dari SM St Anthony, Muhamad Azim Muhamad Farid mengungguli kategori 15 tahun lelaki, manakala di tempat kedua dimenangi oleh Leoneil Laing Lawai dari Labuan International School dan tempat ketiga Muhamad Harith Ayman Azhari dari SM St Anthony.

Bagi Kategori Lelaki 18 dimenangi oleh Muhamad Syamil Hakimi Azhari dari SM St Anthony dan Perempuan 18 Tahun dimenangi oleh Nurul Haslinda Roslan dari SM St Anne.

Encik Raisin Saidin bersama ibubapa dan para pemain yang memenangi kejohanan Edugolf JPWPL

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Raisin Bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin dalam ucapannya berharap pendedahan di peringkat akar umbi ini suatu hari nanti akan dapat melahirkan pemain golf profesional dalam kalangan anak jati Labuan. Hal ini tidak mustahil kerana pulau ini mempunyai dua padang golf yang terbaik di rantau ini iaitu Labuan Golf Club yg terletak di kawasan bandar Labuan. Satu lagi ialah Labuan International Golf Club yang mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Kedua-dua padang golf ini telah mencatat sejarahnya sendiri apabila menjadi medan persaingan pemain-pemain golf peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan April 2019.

Menurut Encik Raisin Saidin lagi pertandingan yang dilaksanakan ini juga adalah sebahagian daripada langkah untuk menyediakan pasukan golf Labuan untuk bertanding dalam MSSM Golf Peringkat Kebangsaan tahun 2020.

“ Komitmen dan kesungguhan ibubapa merupakan pemangkin kepada para pemain remaja ini untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang ”. Encik Raisin Saidin

Murid-murid yang bertanding dalam kejohanan Edugolf Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kali ini

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Labuan Golf Club kerana memberikan kemudahan dan laluan pertandingan ini.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Polis Labuan, Tuan Muhamad Farid, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPWP Labuan , En. Hasbolah Bin Amit, para ibubapa dan penjaga murid yang mengambil bahagian.

Loading

image_pdfimage_print