Warga Pendidik Di Labuan Hadiri Kempen Kesedaran Kanser Oleh MAKNA

Peserta begitu khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Cik Melen Anak Sana sempenan Kempen Kesedaran Kanser oleh Majlis Kanser Nasional

Labuan, 09 Dis – Seramai 90 guru besar, guru-guru dan pegawai kumpulan pelaksana  menghadiri kempen Kesedaran Kanser yang dianjurkan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  yang telah diadakan pada 03 Disember 2019.

Kempen Kesedaran Kanser ini bertujuan untuk memberi penerangan secara terperinci mengenai kanser, perkhidmatan MAKNA, serta cara-cara membantu pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan. Kempen ini telah diurusetiakan oleh Sektor Perancangan, JPWPL.

Menurut Cik Melen Anak Sana, Pegawai Pembangunan Dana MAKNA,  kanser boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal. Namun, kesedaran kanser di kalangan masyarakat Malaysia masih rendah di mana kebanyakan pesakit yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan kebiasaannya berada di peringkat akhir. Tambahan pula, kos rawatan yag tinggi sering menjadi kekangan bagi pesakit yang kurang berkemampuan.

Majlis Kanser Nasional atau lebih dikenali sebagai MAKNA merupakan sebuah pertubuhan sosial ditugaskan untuk mengumpulkan dan menggunakan setiap usaha, kepakaran dan kebajikan dari setiap lapisan masyarakat untuk melawan kanser dan mengurangkan kesakitan, penderitaan dan morbiditi yang pesakit kanser sering alami. ‘MAKNA’ dan slogannya bermaksud “Mengingati Makna Kehidupan” (A Meaning to Life).

Sementara itu, Puan Kamariah Binti  Salim, Penolong Pengarah Sektor Perancangan  berkata, kempen ini di adakan untuk memberi kesedaran kepada seluruh warga pendidika di JPWPL akan bahayanya penyakit kanser dan pentingnya pengesanan awal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah. 

“Kesedaran semua pihak adalah penting bagi mencegah dan mengesan kanser lebih awal. Kanser boleh dicegah dan dielak melalui amalan gaya hidup sihat. Kita berharap agar info yang disampaikan oleh pihak MAKNA dapat dikongsi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan” katanya ketika ditemui.

Puan Sarifah Binti Suip, guru dari Sekolah Kebangsaan Pantai berkata, taklimat yang disampaikan amat menarik serta banyak info yang diperolehi berkaitan tanda-tanda awal kanser serta makanan yang perlu dielakkan untuk pengidap kanser. Selain itu peserta berpeluang menyalurkan sumbangan kepada pihak MAKNA untuk membantu pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan.

Turut hadir dalam kempen ini Encik Azryn Bin  Hj Mamma, penolong pengarah Sektor Sumber manusia, JPWPL.

Berita Oleh : Puan Kamariah Salim

En Azryn menyampaikan sijil penghargaan kepada Cik Melen Anak Sana

Loading

image_pdfimage_print