Kesihatan dan Kesejahteraan Murid SMK Mutiara Menjadi Keutamaan

Murid-murid SMK Mutiara sedang mendengar taklimat mengenai suntikan vaksin Human Pupillomavirus

Labuan, 16 Januari 2020 – SMK Mutiara berbesar hati menerima kunjungan daripada Pasukan Kesihatan Sekolah, Jabatan Kesihatan W. P. Labuan hari ini dalam tiga acara yang dijalankan secara serentak.

Kunjungan 7 kakitangan pasukan bertujuan untuk memberi penerangan dan suntikan vaksin Human Pupillomavirus (HPV) kepada murid-murid perempuan yang berada di tingkatan 1 bagi sesi persekolahan tahun 2020. Seramai 55 murid telah diberi penerangan berkaitan vaksin tersebut yang bertujuan mengurangkan risiko kanser servik. Pasukan ini diketuai oleh Dr Nur Anisah Hassan.

Dalam ceramah yang disampaikan, Puan Shaharizan binti Azizi turut menyentuh peri penting makan secara sihat. Setiap individu perlu mengelakkan daripada mengambil gula secara berlebihan bagi menjamin kesihatan diri. Sesi ceramah berlangsung selama 40 minit di Dewan Semarak.

Puan Shaharizan sedang memberikan ceramah kepada murid-murid SMK Mutiara

Selesai sesi ceramah, Puan Shaharizan turut membuat pemeriksaan terhadap makanan yang dijual di kantin sekolah. Dalam pemeriksaanya , beliau memuji pengusaha kantin yang telah mematuhi semua peraturan penjualan makanan di kantin sekolah seperti yang disarankan oleh Jabatan Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut Puan Shaharizan lagi, tujuan pemeriksaan penjualan makanan di kantin bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi untuk menjamin murid-murid diberi pilihan makanan yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan. Perkara ini sangat penting diberikan penekanan sebagai kaedah mendidik anak-anak mementingkan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam Yasim melahirkan rasa syukur dan menghargai atas usaha dan inisiatif Pasukan Kesihatan Sekolah, Jabatan Kesihatan W.P. Labuan dalam memastikan semua murid yang bersekolah mendapat khidmat kesihatan terbaik dan berterusan.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print