PPKI SMK Mutiara Anjur Bengkel Pelaksanaan Kurikulum Kefungsian Rendah

Guru-guru SMK Mutiara sedang khusyuk menyiapkan tugasan bengkel yang diberikan

Labuan, 16 Januari 2020 – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Mutiara telah mengadakan Bengkel Penataran KSSMPK Kefungsian Rendah khusus untuk guru-guru yang mengajar kelas PPKI dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Bengkel yang bermula jam 2.00 petang telah dihadiri oleh 16 orang guru dan 4 PPM. Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk mengukuhkan lagi pengetahuan sedia ada guru dan PPM tentang KSSMPK Kefungsian Rendah yang akan dilaksanakan mulai tahun ini.

Pengendalian bengkel merangkumi empat sesi yang dibimbing fasilitator yang terdiri dalam kalangan guru-guru PPKI.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Roslaniah bt Zainal memulakan sesi bengkel dengan menekankan aspek penguasaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dalam kalangan guru. Menurut beliau, DSKP merupakan nadi kepada sesuatu mata pelajaran dan mesti difahami oleh guru untuk tujuan pelaksanaan PdP yang berkesan.

“Seperti yang kita sedia maklum KSSMPK Kefungsian Rendah ini bertujuan untuk menjadikan Murid Berkeperluan Khas (MBK) berkemahiran, boleh berdikari, dan mereka mampu masuk ke alam pekerjaan seperti orang normal” kata beliau lagi.

Slot kedua dikendalikan oleh Cikgu Nurul Hidayah bt Abd Rahim yang menyentuh Program Transisi Kerjaya (PTK). Beliau yang juga merupakan Jurulatih Kebangsaan, menyampaikan hala tuju program PPKI terutamanya yang berkaitan dengan peluang-peluang kerjaya yang boleh diterokai oleh MBK. Beliau turut menyeru agar guru-guru PPKI membimbingnya secara bersungguh-sungguh bagi MBK menguasai kemahiran-kemahiran yang diajar.

Seterusnya guru-guru PPKI telah mengadakan bengkel secara ‘hands on’ menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mengikut subjek yang telah diberikan dan membuat pembentangan secara berkumpulan.

Peserta-peserta bengkel telah melahirkan rasa gembira kerana telah didedahkan dengan kurikulum Kefungsian Rendah yang dapat membantu guru membimbingnya murid-murid PPKI dengan lebih baik.

Di akhir sesi bengkel, Puan Noraini Binti Sabudin, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan Labuan ke PPKI SMK Mutiara telah membuat rumusan bengkel secara keseluruhan. Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah pengurusan PPKI SMK Mutiara kerana berjaya menganjurkan bengkel ini dengan jayanya.

“Walaupun KSSMPK ini masih baru namun tidak salah jika pihak sekolah berasa yakin dan mampu untuk laksanakan secepat mungkin. Hal ini bergantung pada bilangan guru dan murid serta alat yang mencukupi untuk dilaksanakan” kata beliau.

Beliau turut mencadangkan agar perkongsian berkaitan PTK dapat dikongsi kan bersama-sama sekolah yang lain juga.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Guru-guru khusyuk mendengar taklimat daripada penceramah

Loading

image_pdfimage_print