Program Transisi SK Pekan II: Penerapan Budaya “Love, Happiness and Mutual Respect”

Puan Hjh Dayang, Insp. Khadijah, Penolong-Penolong Kanan dan penceramah yang hadir meraikan sambutan hari lahir murid-murid tahun 1 SK Pekan II

Labuan – Program Transisi dan Guru Penyayang 2020 SK. Pekan II telah berjaya menyuntik dan menerapkan budaya kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati di kalangan murid-murid.

Program tersebut berfokuskan kepada aktiviti-aktiviti pengenalan kepada dunia baru alam persekolahan Perdana untuk murid-murid Tahun Satu serta pelaksanaan Dasar Guru Penyayang Kementerian Pendidikan Malaysia yang melibatkan semua guru dan murid.

Program Transisi dan Guru Penyayang merupakan satu program yang diwujudkan oleh KPM untuk melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang menjadi teras dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Program Transisi Prasekolah ke Tahun Satu merupakan satu program yang telah dirangka dengan tujuan untuk membantu kanak-kanak menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah atau pun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.

Program transisi yang mengambil masa selama 3 minggu iaitu minggu pertama ialah Perlaksanaan Minggu Orientasi diikuti dengan Minggu Pembentukan Kumpulan iaitu (Dinamika Kumpulan) dan Perlaksanaan aktiviti ke arah proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Program ini melibatkan 4 kelas iaitu Kelas 1 Genius, 1 Intelek, 1 Cendekiawan dan 1 Bijaksana iaitu seramai 137 orang murid. Program ini adalah bersifat membimbing ke arah alam persekolahan formal dan menekankan amalan budaya penyayang seperti yang disarankan.

Lagu I m Happy oleh murid-murid tahun 1 menarik perhatian hadirin yang hadir

Dalam ucapan alu-aluan Guru Besar, Puan Hajah Dayang Damit @ Saidah bt Md Yassin menyeru semua ibu bapa untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti sekolah serta menasihatkan para murid untuk membantu menjadikan suasana persekolahan lebih selesa dan ceria disamping pemupukan nilai-nilai murni kepada murid-murid baharu.

“Adalah diharapkan dengan adanya program ini, kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi, persekitaran dan pengetahuan akan dapat menyesuaikan diri dan bersedia meneruskan pembelajaran secara formal dan tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan pembelajaran dan pergaulan terutamanya bagi murid yang tidak pernah ke kelas Tadika dan Prasekolah.”

“Ibu bapa juga disarankan supaya bersikap ambil peduli terhadap pemakanan anak-anak dan pembelajaran mereka, memupuk sahsiah terpuji dan menerapkan nilai-nilai bersih, awal datang ke sekolah dan amalan hormat-menghormati serta kasih sayang sesama mereka sewaktu berada di sekolah.” Puan Hajah Dayang Damit @ Saidah

Majlis penutupan Minggu transisi 2020 ini bermula pada jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Terbuka Gemilang yang telah dirasmikan oleh Inspt. Khadijah Binti Mohd. Ali, Pegawai Perhubungan Polis sekolah.

Beliau menyeru kepada ibu bapa agar dapat bekerjasama dan memupuk hubungan yang baik terhadap sekolah disamping memantau pembelajaran dan sahsiah anak-anak mereka serta sentiasa bersikap terbuka dan sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan guru-guru di sekolah ini.

Pada majlis tersebut diadakan beberapa siri ceramah untuk ibu bapa berkaitan bidang pentaksiran bilik darjah yang disampaikan oleh Tengku Hajah Yasmin Binti Tengku Ibrahim manakala ustazah Faridah Binti Hj. Abd. Rahman telah menyampaikan amanat mengenai bidang Hal Ehwal Murid, taklimat 1M1S dan bantuan Baitulmal. Turut sama menyampaikan ceramah I’m Free ialah dari Unit Promosi Jabatan Kesihatan Labuan.

Dalam masa yang sama Ibu bapa yang hadir pada majlis tersebut begitu teruja menyaksikan persembahan daripada murid-murid Tahun Satu sebagai memeriahkan lagi majlis.

Jelas wajah kegembiraan dan keseronokkan murid-murid ini dalam mendendangkan lagu I am Happy, mengira Nombor, nasyid dan pergerakan tarian Chicken dance.

Berita Oleh : SK Pekan II

Loading

image_pdfimage_print