Mata Pelajaran Vokasional Buka Peluang Kerjaya Berkualiti

Puan Ruzidah sedang memberi taklimat mengenai hala tuju murid-murid MPV selepas SPM

Labuan, 8 Februari – Seramai 25 orang murid Tingkatan 5 SMK Mutiara telah menyertai Program ’Hala Tuju Murid MPV Selepas SPM’, pada 4 Februari lalu.

Taklimat yang diadakan di Bilik Mesyuarat, SMK Mutiara telah dihadiri oleh murid-murid yang memilih aliran Mata Pelajaran Vokasional (MPV) di peringkat SPM. Antara mata pelajaran vokasional yang ditawar di SMK Mutiara adalah Penjagaan Muka & Dandanan Rambut (PMDR) , Landskap & Nurseri  dan Seni Reka Tanda.

Taklimat telah disampaikan oleh Puan Ruzidah Binti Ishak yang merupakan Panel dalam National Occupational Skills Standard (NOSS) dan Personel Penilai Verifikasi (PPV) yang telah diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK).

Beliau yang juga pemilik Ozee Heatlh & Beauty Therapy telah berkongsi maklumat berkaitan dengan prospek pengetahuan dan kemahiran vokasional bagi memenuhi keperluan Industri terutamanya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4).

Dalam sesi taklimat tersebut, Puan Ruzidah menekankan tentang peluang-peluang pekerjaan yang boleh diceburi oleh murid-murid MPV selepas tamat persekolahan. Beliau menyeru agar semua murid mempelajari kemahiran dengan bersungguh-sungguh sehingga mampu mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Murid-murid yang ingin bekerja dalam bidang kemahiran perlu memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Pembiayaan kewangan juga akan diperolehi sekiranya pelatih ingin melanjutkan ilmu kemahiran ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) & Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia( DLKM)” ujar beliau lagi.   

Puan Norika memberi cenderamata kepada Puan Ruzidah

Beliau turut memberi jaminan bahawa pemegang sijil SKM sangat laris dalam pasaran kerja di Malaysia. Selain berkerja dalam bidang kemahiran tertentu, mereka juga mempunyai peluang untuk menjadi Tenaga Pengajar (Trainer) atau Penyelia(coach) untuk mana-mana Pusat Latihan Kemahiran yang berdaftar.

“Pemegang SKM yang berpengalaman boleh membuka pusat latihan sendiri” tambahnya lagi.

Menurut penyelaras taklimat, Puan Norika binti Mohd Nor, murid-murid SMK Mutiara sangat bertuah kerana telah diberi pendedahan yang bermanfaat berkaitan peluang kerjaya bidang kemahiran hari ini oleh seseorang yang boleh dianggap sebagai tenaga pakar industri negera.

Murid-murid juga diharap dapat memanfaatkan peluang mempelajari mata pelajaran vokasional di sekolah sebaik-baiknya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Murid-murid yang ditemui juga melahirkan merasa bertuah kerana diberi peluang bersemuka dengan pakar industri negara. Taklimat yang berlangsung selama satu jam telah meningkatkan motivasi mereka untuk mendalami pelbagai ilmu kemahiran untuk menjadi tenaga kerja mahir negara pada masa hadapan.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print