Hari Penetapan Sasaran SPM dan PT3 SMK Mutiara Perkukuh Komitmen Murid dan Ibu Bapa Terhadap Pendidikan

Perjumpaan ibu bapa bersama murid dengan guru bagi melihat perkembangan anak-anak mereka di sekolah

Labuan – Seramai 200 murid dan ibubapa telah hadir ke Majlis Hari Penetapan Sasaran SPM 2020 yang telah berlangsung pada 14 Februari lalu di Dewan Semarak SMK Mutiara. Majlis yang bermula jam 10 pagi itu dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah ini.

Penyelaras program, Encik Mohd Hafiz bin Lukman yang juga Kaunselor sekolah berkata seramai 145 calon SPM terlibat dalam majlis ini yang diadakan untuk memberi peluang kepada murid dan ibubapa masing-masing menetapkan sasaran pencapaian yang dihasratkan dalam SPM 2020.

“Sasaran murid dan ibubapa dipersetujui secara bersama dan disaksikan oleh guru-guru yang mengajar mereka. Sasaran yang diletakkan perlu mencabar dan memerlukan komitmen dan kesungguhan untuk dicapai.” katanya lagi.

Selain itu program ini juga memberi peluang kepada ibubapa untuk mengetahui program-program yang akan dijalankan oleh pihak sekolah bagi memastikan sasaran dapat dicapai.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapan beliau mengucapkan terima kasih kepada ibubapa dan penjaga atas usaha yang bersungguh-sungguh untuk hadir ke majlis ini.

Beliau telah menyentuh beberapa perkara penting dalam memastikan prestasi murid dan prestasi sekolah dapat ditingkatkan dalam SPM 2020. Antaranya ialah berkaitan kehadiran murid ke sekolah sepanjang tahun dan komitmen ibubapa atau penjaga terhadap pembelajaran anak-anak.

“Sebagai ibubapa, kita mesti bertanggungjawab terhadap Pendidikan mereka sehingga tamat persekolahan. Mereka adalah amanah yang perlu dididik dengan sempurna. Ibubapa jangan berkira dalam hal-hal pelaburan dalam pendidikan anak-anak kerana pulangannya nanti akan sampai semula kepada kita” tegas beliau.

Ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada pendidikan anak-anak mereka

Dalam Majlis itu juga, Encik Mohd Nizam telah menunjukkan prestasi pencapaian SPM dalam tempoh 3 tahun sejak 2016 hingga 2018. Pencapaian layak sijil SMK Mutiara telah menunjukkan peningkatan ketara iaitu 81.82% dalam tahun 2017 kepada 89.93% dalam SPM 2018. Beliau turut berharap agar momentum peningkatan ini dapat dijelmakan lagi di dalam keputusan SPM 2019 yang bakal diumumkan pada Mac nanti seterusnya dalam SPM 2020.

Menurutnya lagi, kerjasama dari semua pihak amat diperlukan dan dihargai dalam usaha mengangkat martabat SMK Mutiara sebagai sebuah institusi pendidikan yang dihormati. PIBG dan agensi luar telah banyak membantu pihak sekolah dalam menyalurkan dana untuk pelaksanaan program-program peningkatan Prestasi sekolah.

Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Naib YDP PIBG, Puan Zuraidah binti Ahmad, pegawai angkat sekolah, Encik Afandi bin Nasir dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Siti Aminah Binti Zakaria.

Puan Zuraidah berkata PIBG akan memberikan insentif kepada murid terbaik SPM Tahun 2020. Menurutnya lagi, PIBG akan sentiasa memberi kerjasama sewajarnya demi kepentingan murid-murid yang bersekolah di sini.

Encik Afandi Nasir turut menasihatkan murid-murid yang beragama Islam agar mengamalkan membaca surah-surah yang pendek setiap hari sebagai pendekatan rohani ke arah kecemerlangan.

Puan Siti Aminah ketika menjawab pertanyaan ibubapa menjelaskan bahawa program terdekat yang akan dilaksanakan untuk calon-calon SPM 2020 ialah bengkel menjawab soalan peperiksaan yang melibatkan 17 mata pelajaran. Bengkel ini akan dibiayai sepenuhnya oleh PIBG sekolah.

Di akhir majlis, ibubapa mengambil peluang beramah mesra dengan guru-guru Tingkatan 5 dan guru kelas anak-anak mereka. Majlis tamat pada jam 11.30 pagi.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Ucapan aluan Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Mohd Nizam

Loading

image_pdfimage_print