“SEDERAP MELANGKAH”

Cik Emy Othman (2 kanan) menerima cenderakenangan daripada Tuan Haji Yunus

Labuan, 16 Februari– Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2020 yang bertemakan “Sederap Melangkah” berbaki hanya 7 bulan sahaja lagi sebelum menduduki UPSR sebenar. Pelbagai usaha dilakukan untuk membantu para calon UPSR 2020 menghadapi situasi peperiksaan. Perasmian program disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman dan diisi dengan ceramah motivasi yang bertajuk “Ibu Bapa Terbaik, Anak Hebat” yang disampaikan oleh Pengurus Buddies Training And Consultant Cik Emy binti Othman.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Unit  Sekolah Rendah JPWPL merangkap pengawai Angkat SKPS Haji Yunus bin Haji Yussof, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL,merangkap NYDP PIBG SKPS Puan Zaliha binti Mohd Salleh, PK Pentadbiran SKPS Encik Airol Azmi bin Abd Gani, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat, PK PPKI SKPS Encik Mohd Faisal bin Haji Moin, dua orang anggota tertinggi PIBG, 30 orang guru, 134 orang murid dan 120 orang ibu bapa.

Objektif utama program ini ialah bertujuan meningkatkan keyakinan murid-murid dalam menghadapi situasi pembelajaran khususnya UPSR yang bakal diduduki oleh murid-murid tahun 6. Selain itu, program ini salah satu usaha guru-guru tahun 6 bagi menerapkan nilai-nilai murni dalam membina pembelajaran yang berkualiti.

Peserta motivasi tekun mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh penceramah.

Dalam ucapan, Puan Anita Shyamini mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemputan terutama ibubapa penjaga murid dan semua yang terlibat dalam Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2020. Bagi pengetahuan semua, keputusan UPSR pada tahun 2019 meningkat berbanding UPSR tahun 2018 dan ianya menjadi pemangkin semangat kepada guru-guru untuk berusaha memperbanyakkan lagi program sebegini bagi mempersiapkan diri murid-murid tahun 6 menghadapi UPSR lebih awal.

“Saya juga berharap agar semua ibu bapa khususnya ibu bapa tahun 6 memberi kerjasama yang jitu kepada guru-guru SKPS bagi melaksanakan pelbagai program untuk murid-murid tahun 6 ini kerana tanpa komitmen semua pihak maka objektif sesuatu program tidak akan tercapai” tambah beliau lagi.

Motivasi yang bertajuk “Ibu Bapa Terbaik, Anak Hebat”, Cik Emy menekankan tentang kesedaran kepada ibu bapa akan kepentingan kerjasama 3 hala iaitu guru, ibu bapa dan murid. Kegigihan serta kesungguhan ahli jawatankuasa melaksanakan program ini memperlihatkan usaha guru-guru mempersiapkan minda dan fizikal para calon sebagai pahlawan yang berentap dalam peperiksaan UPSR sebenar yang bakal menjelang. “Ibubapa hendaklah sentiasa memastikan anak-anak menhormati guru-guru khususnya, agar ilmu yang diperolehi akan diberkati dan dengan keredhaan seorang guru menjadi tunggak utama murid-murid mencapai kejayaan kelak” tambah beliau lagi.

Secara konklusinya, penyelaras program iaitu Puan Norsharina binti Nordin menyatakan dengan adanya program seumpama ini akan menjadi pemangkin serta wadah kejayaan murid-murid SKPS malah sebagai tunggak kecemerlangan prestasi akademik SKPS. “Pencapaian terbaik murid dalam akademik merupakan cerminan kepada kecemerlangan guru yang hebat dalam mengadaptasikan segala ilmu pengetahuan sekaligus memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam kalangan guru-guru Tahun 6 SKPS terhadap kepentingan calon-calon UPSR SKPS mencapai kegemilangan di dalam bidang akademik” tambah beliau lagi.

Ibu bapa yang hadir memeriahkan program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2020.

Loading

image_pdfimage_print