Umpama Menatang Minyak Yang Penuh, Skrr Sambut Pelancaran Jom Ke Sekolah

NORINNIE (lima kiri) SUKVINDERJEET (empat kanan) dan HAMIM (empat kiri) dan ZALIHA (tiga kiri) semasa melancarkan program ‘Jom Ke Sekolah’

Labuan, 17 Februari 2020 – Peribahasa tersebut amat sesuai dikaitkan dengan program Jom ke Sekolah yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2020 (Isnin) serentak seluruh Malaysia. Program ‘Jom Ke Sekolah” yang direncanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertujuan untuk  menangani masalah disiplin pelajar dan salahlaku jenayah bermula diperingkat akar umbi.

Kehadiran Pegawai Polis yang juga Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha iaitu ASP Sukvinderjeet Singh A/L Chanan Singh yang turut menyampaikan perutusan ketua polis negara sempena program ‘Jom Ke Sekolah’ peringkat kebangsaan tahun 2020.  Antara isi perutusan tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap agar komuniti sekolah dan pihak yang berkaitan dapat bekerjasama untuk terus membimbing generasi muda, agar mereka tidak mudah terpesong, dan sebaliknya menjadi modal insan yang cemerlang dan disanjung tinggi.


Majlis turut dihadiri Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Dr Mohammad Hamim bin Mohamad Hanifah dan Naib YDP PIBG Hasan @ Hassan bin Jinin, pegawai angkat sekolah, Zaliha binti Mohd Salleh yang turut terlibat melakukan simbolik pelancaran program ‘Jom Ke Sekolah’ bersama-sama pentadbir sekolah, Guru Besar, Norinnie binti Kassim, PK Pentadbiran, Midah binti Yusop, PK Ko-kurikulum, Zulkipli Pabin, PK HEM, Shawal Abd Rahman, PK KPKP, Rodhy Edward Anak Edward Jalin. Simbolik pelancaran yang menarik dengan menampilkan murid yang berpakaian lengkap seperti seorang pegawai polis sebagai simbolik kemenjadian murid SKK SKRR.

NORINNIE (tengah) SUKVINDERJEET (empat kiri) dan HAMIM (empat kanan) bergambar kenangan pada papan kenyataan PPS.


Norinnie turut membacakan perutusan Menteri Pendidikan Malaysia turut menegaskan bahawa kerjasama antara KPM dengan PDRM melalui PPS sentiasa diperkasakan untuk menjadikan sekolah sebagai kawasan selamat dan ceria kepada semua murid. Pihak KPM mengharapkan bukan sahaja murid dapat menikmati rasa selamat apabila berada di sekolah tetapi warga sekolah, ibu bapa dan semua pihak yang berkepentingan turut merasai perasaan tersebut setiap kali berada di kawasan sekolah.

Hamim berharap agar program ini memberi impak positif kepada murid-murid dan turut mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran untuk mengelakkan penularan Covid-19 dan gejala-gejala lain.

Majlis diakhiri dengan merasmikan papan kenyataan PPS yang ditandatangani oleh ASP Sukvinderjeet Singh. Program yang dikelolakan oleh penyelaras Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK), Faizurah binti Karim dan Lembaga Disiplin Sekolah di bawah seliaan pengurusan HEM berharap program yang melibatkan jalinan antara KPM – PDRM  dan PIBG sekolah  akan lebih memberi impak terhadap kehadiran murid ke sekolah dan seterusnya dapat meningkatkan lagi kemenjadian murid dari segi sahsiah, kokurikulum dan khususnya kurikulum.

Murid fokus mendengar perutusan ketua polis negara yang disampaikan oleh pegawai perhubungan sekolah.

Loading

image_pdfimage_print