“CREATE THE FUTURE BY THE PAST” – Meniup Semangat Juang Calon SPM SMK Mutiara

Encik Jostelen Lamibai memberi kesedaran kepada murid-murid tingkatan 5 tentang kepentingan pencapaian dalam kokurikulum

Labuan, 27 Feb 2020 – Bagi memastikan calon-calon SPM SMK Mutiara 2020 bersemangat dan bersedia seawal mungkin, pihak sekolah telah menganjurkan sesi pertemuan Pengetua bersama calon-calon SPM sekolah ini pada Rabu lepas.

Sesi pertemuan yang bermula jam 1.30 pm di Dewan Semarak sekolah ini telah dianjurkan oleh Unit Akademik sekolah yang dipimpin oleh Penolong Kanan Pentadbiran , Puan Siti Aminah Binti Zakaria.

Menurut Puan Siti Aminah, terdapat seramai 145 calon SPM pada tahun ini yang melibatkan 21 mata pelajaran. “Sebahagian Besar mereka mengambil maksimum 9 mata pelajaran termasuk mata pelajaran elektif” katanya.

Tujuan utama pertemuan ini ialah untuk membimbing calon-calon SPM 2020 sebelum mereka membuat keputusan terakhir mendaftar mata pelajaran yang akan diambil. Sesi pendaftaran mata pelajaran SPM bermula 1 Mac dan berakhir pada 31 Mac 2020.

“Sebahagian daripada mereka keliru dengan keperluan dan kepentingan sesuatu mata pelajaran sehingga ada yang memohon untuk menggugurkan mata pelajaran tertentu” jelasnya lagi.

Sesi pertemuan dimanfaatkan dengan ucapan oleh Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapannya beliau telah mengimbau sejarah Zaman kegemilangan Tanah Melayu masa lalu sebelum kedatangan penjajah yang memerintah Tanah Melayu selama lebih 500 tahun. Tanah Melayu sebelum tahun 1500 berada dalam zaman kegemilangan iaitu sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis.

“Kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511 adalah kesilapan bangsa kita sendiri yang mengkhianati amanah kerana dorongan kebendaan. Ini telah menyebabkan hasil mahsul negara telah dijarah dengan rakus oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun sehinggalah kita berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957”. katanya.

Encik Mohd Nizam mengimbau sejarah Zaman Kegemilangan Tanah Melayu

Beliau menjelaskan bahawa usaha keras, kerjasama dan kesetiaan kepada pemimpin adalah elemen-elemen yang akan membawa kejayaan kepada sesuatu bangsa dan negara. Siam adalah contoh sebuah negara yang rakyatnya amat menghormati Pemimpin sehingga berjaya mengekalkan negara daripada dijajah oleh kuasa-kuasa luar.

“Begitu juga peranan kita sebagai seorang murid. Kita seharusnya sanggup berusaha gigih untuk belajar dan sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada guru-guru yang telah berusaha mendidik kita tanpa mengira penat dan lelah”, tegasnya lagi.

Selain itu, Encik Mohd Nizam turut menyatakan bahawa dunia pendidikan dan pekerjaan sekarang berubah dengan begitu drastik dan menuntut keupayaan kita mengaplikasi kemahiran Komunikasi, kolaboratif, berfikiran kritikal dan kreatif secara bersungguh-sungguh dalam menangani cabaran. Kemahiran-kemahiran ini perlu diterapkan di dalam setiap sesi pembelajaran dan Pengajaran di dalam bilik darjah selaras dengan Pendidikan Abad ke-21.

“Sebahagian pekerjaan yang ada pada hari ini akan lenyap dalam masa 5 atau 10 tahun akan datang. Peluang-peluang kerja baharu akan muncul menuntut kemahiran yang berbeza dari hari ini. Justeru kita mesti menguasai pelbagai kemahiran hari ini walaupun kita rasa sesuatu mata pelajaran itu sukar dan mencabar” tegasnya lagi.

Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Siti Aminah Zakaria turut menyeru agar semua calon SPM 2020 dapat membuat keputusan yang bijak dalam mendaftar setiap mata pelajaran kerana ia mampu mempengaruhi hala tuju pendidikan mereka di peringkat lepasan menengah.

“Pemilihan mata pelajaran yang sesuai mengikut pakej yang betul adalah sangat penting untuk menyambung pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.”ujar beliau lagi.

Dalam perjumpaan ini, Penolong Kanan Kokurikulum Encik Jostelen Lamibai turut mengambil peluang menyedarkan murid-murid tingkatan 5 tentang kepentingan pencapaian dalam kokurikulum.

Beliau mengingatkan calon SPM supaya sentiasa mengemas kini kad pelaporan kokurikulum dan mengambil peluang menyertai sebarang aktiviti kerana penyertaan mereka akan menyumbang kepada markah PAJSK.

Majlis yang tamat pada jam 4 petang turut dihadiri oleh Encik Jostelen Lamibai, Puan Nurul Syazwanie Mohd Zaid, Ustazah Hjh Roshidah binti Saad dan Encik Mohd Kamil.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Calon-calon SPM SMK Mutiara Tahun 2020

Loading

image_pdfimage_print