Mesyuarat Agung PIBG SK Pekan II `Seikat Bagai Sirih, Serumpun Bagai Serai’

Encik Sofean Said Pengerusi LAFA menyampaikan sumbangan bola sepak kepada Guru Besar

Labuan – Sekolah Kebangsaan Pekan II, WP. Labuan telah mengadakan mesyuarat Agung PIBG bagi melantik Majlis Tertinggi bagi tahun 2020-2022 yang dilaksanakan pada 06 Mac 2020 bertempat di Dewan Terbuka Gemilang.

Mesyuarat telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan WP. Labuan.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh, Datuk Ramasamy Ketua Masyarakat India, Puan Hajah Rohana Binti Yassin, YDP PIBG SK Pekan II, KK Osman Bin Kadir, Ketua Kampung Gersik, Encik Sofian Bin Said, Pengerusi LAFA, Encik Hussien Bin Sulaiman, Sarjan Marteen Pegawai Perhubungan Polis Sekolah, Penolong-Penolong Kanan, ibu bapa dan guru-guru.

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Pengarah Pendidikan menekankan tentang perlunya ibu bapa memahami peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibubapa dan guru.

Dengan permuafakatan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu kualiti murid di sekolah, seterusnya dapat menghasilkan kualiti sekolah yang lebih baik.

Beliau turut memuji perjalanan mesyuarat ini yang beliau sifatkan  sebagai professional, kehadiran ibu bapa yang luar biasa kehadiran dan sokongan mereka meskipun mesyuarat ini dibuat pada waktu bekerja, teratur dan menunjukkan tertib pemilihan AJK PIBG yang baharu.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas kepimpinan Guru Besar dan yakin bahawa sekolah ini akan terus cemerlang dalam pelbagai bidang dengan adanya sokongan padu daripada ibu bapa yang berterusan. Begitu juga harapan beliau terhadap kepimpinan PIBG yang baharu agar dapat menambahbaik lanskap kemenjadian dan keberhasilan murid-murid sekolah ini.

Menandatangani permuafakatan strategik antara Guru Besar dan Datuk Ramasamy, Encik Sofean dan Encik Hussein disaksikan oleh Tuan Raisin Saidin

Sebelum itu Guru Besar, Puan Hajah Dayang Damit @ Saidah Haji Md Yassin selaku penasihat persatuan ini dalam ucapannya mengingatkan semula tentang perkara berkaitan Batasan Kuasa Persatuan  Ibu   Bapa Dan Guru yang perlu dipatuhi pada setiap masa seperti mana yang   tercatat dalam SPI Bilangan 5 Tahun 2001 yang dikeluarkan oleh pejabat   Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, KPM.

Perkara-perkara yang disentuh di   dalam surat pekeliling itu ialah PIBG sekolah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru-guru di sekolah yang berkenaan.

Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang peranan dan tugas serta tanggungjawab bersama dalam usaha untuk   meningkatkan mutu dan kaedah pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian  antara   pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership).

Di samping itu fungsi dan peranan PIBG, KSIB, PIBKS dan SdK di sekolah perlu dibugarkan serta memperlihatkan kejayaan-kejayaan yang telah diperolehi oleh sekolah ini khususnya dalam Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) yang mana SK Pekan II telah melahirkan ‘Star Junior’ peringkat Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa melalui Pertandingan Karate, Muaytai, renang, silambam, boxing, catur dan sebagainya.

Ibubapa dan guru berpisah tiada, selaras dengan moto “Together We Are Stronger” sama-sama mempunyai peranan yang padu dan saling lengkap-melengkapi, ibarat `SEIKAT BAGAI SIRIH, SERUMPUN BAGAI SERAI’,  berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah ini.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa bahawa kecemerlangan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah kerana merekalah yang  menentukan  sama ada anak-anak terdidik dengan nilai-nilai yang murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan segala gejala negatif di luar rumah.

Jelasnya lagi, tanggungjawab dalam menentukan keperibadian anak-anak sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil untuk melepaskan tanggungjawab itu sewenang-wenang ke atas bahu guru dan pihak sekolah. Dalam konteks ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selain daripada membantu dalam kebajikan murid, guru dan juga pembangunan sekolah.

YDP dan AJK PIBG 2020-2022 merakam kenangan bersama Guru Besar

Terdahulu Puan Hajah Rohana Binti Yassin, YDP PIBG 2017-2019 juga dalam ucapannya turut berterima kasih kepada semua guru-guru, AJK PIBG dan semua ibu bapa dan mengharapkan kepimpinan baharu Majlis Tertinggi PIBG dapat membantu pihak sekolah meningkatkan kecemerlangan sekolah, memantapkan lagi hubungan guru-guru bersama ibu bapa melalui aktiviti anjuran bersama seperti Program Motivasi, Kecemerlangan UPSR, Sukan, Hari Anugerah Sekolah dan sebagainya.

Dalam pada itu jaringan permuafakatan antara sekolah dengan pihak-pihak yang bermurah hati memberi sumbangan telah disaksikan oleh Pengarah Pendidikan.

Pengerusi LAFA iaitu Encik Sofian Bin Said menyumbangkan bola sepak kepada team bola sepak sekolah ini. Encik Shahezy Bin Salim telah menyumbangkan 4 biji sportlight bagi kegunaan murid-murid latihan di padang sekolah pada waktu malam. Begitu juga Datuk Ramasamy melaksanakan kelas Bahasa Tamil secara percuma di sekolah ini.

Kehadiran ibubapa dalam mesyuarat kali ini juga amat menggalakkan dan melebihi sasaran sekolah.

Sebelum itu pemilihan AJK baharu telah dijalankan yang dipengerusikan oleh YM Hajah Tengku Yassmin Binti Tengku Ibrahim Penolong Kanan Pentadbiran selaku pengerusi sementara.

YDP PIBG bagi sesi 2020/2022 ialah Puan Annur Binti Hussin, NYDP Encik Irham Bin Hamid, Cikgu Noraini Binti Awang Besar selaku setiausaha dan Puan Sandrah Binti Daupin selaku naib Setiausaha serta Cikgu Kanagarajah selaku Bendahari. 

Selaku YDP PIBG yang baharu Puan Annur berharap agar hubungan kukuh antara sekolah dan ibubapa yang sedia terjalin dapat dijaga demi kemenjadian dan keberhasilan anak-anak SK. Pekan II khususnya.

Berita Oleh : SK Pekan II

Puan Hajah Dayang menerima sumbangan 4 biji sportlight daripada Encik Hussein bin Sulaiman yang mewakili Encik Sahezy bin Salim.

Loading

image_pdfimage_print