Mesyuarat PIBG SK Pekan Satu

Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi PIBG bersidang di Majlis Mesyuarat PIBG SKPS.

Labuan, 08 MAC- Mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pekan Satu yang melibatkan semua warga SKPS diadakan di Dewan C.U.N. PIBG merupakan salah satu wadah penting membantu pihak sekolah meningkatkan kualiti pengurusan pendidikan meliputi sistem PdP dan kemudahan prasarana di samping membina hubungan baik di antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Perasmian majlis disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Guru Besar SKPS  Puan Anita Shyamini A/P S Azman,  Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Pekan Satu Encik Azrul Rizhan bin Abd Rahman,  Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL merangkap NYDP PIBG SKPS Puan Zaliha binti Mohd Salleh, Pegawai Cawangan Khas IPD W.P. Labuan merangkap PPS SKPS Asp. Mohd Sudirman Bin Abu, Ketua Kampung Gersik Saguking Encik Osman Kadir, 4 orang pentadbir SKPS, 10 orang Ajk Tertinggi PIBG, 85 orang guru serta 400 orang ibu bapa.

Suasana dewan C.U.N semasa majlis mesyuarat PIBG berlangsung

Encik Azrul Rizhan menyatakan mesyuarat ini menjadi satu wadah penting kepada ibu bapa dan guru bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan murid-murid SKPS. “Mesyuarat ini juga membolehkan ibu bapa dan guru berbincang bagi mengusahakan bagaimana menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan mempertingkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran” tambah beliau lagi.

Tuan Raisin amat teruja dengan berlangsungnya program sebegini yang dapat membantu dalam memperkasakan lagi kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa khususnya. Beliau berkesempatan menyampaikan ucapan “Ibu bapa hendaklah sentiasa membantu para guru untuk mendidik murid-murid dengan cara menyemak buku latihan anak-anak serta mendorong mereka melakukan kerja rumah yang telah diberikan, perkara sebegini dilihat enteng oleh kita namun ianya merupakan langkah permulaan bagi anak-anak mencapai kejayaan”. “Sesuai dengan wabak Covid-19 yang kini menular, saya berpesan agar kita sentiasa menasihati anak-anak agar menjaga kebersihan diri, salah satu  mengamalkan mencuci tangan bagi mengelak sebarang penyakit” tambahnya lagi.

Encik Isyamudin Noordin menerima sijil Waris Prihatin daripada Tuan Raisin

Seterusnya Asp. Mohd Sudirman menegaskan agar para ibu bapa mematuhi peraturan sekolah kerana ibu bapa adalah cerminan kepada anak-anak. “Saya berpesan supaya ibu bapa menitikberatkan peraturan kepada anak-anak dan janganlah terlampau memanjakan anak-anak sehingga mereka sewenang-wenangnya melakukan kesalahan tanpa rasa bersalah.”

Dalam ucapannya, Puan Anita Shyamini mengucapkan terima kasih dan syabas kepada hadirin dan AJK program kerana dapat melaksanakan program dengan cemerlang. “Pelbagai strategi PdP yang telah diterapkan oleh para guru kepada murid bagi memupuk minat pembelajaran dalam diri antaranya melalui kesenian yang mana murid SKPS mampu melukis potret, mencanting batik, mewarna dan sebagainya” tambahnya lagi. Beliau juga menyeru ibu bapa untuk menyumbang kepada sekolah bagi merealisasikan hasrat untuk membeli Projektor LCD bagi murid-murid tahun 6 khususnya supaya sesi PdP lebih berkesan seperti umum ketahui bahawa PdP menggunakan ICT adalah cara yang terbaik pada era globalisasi ini.Penyelaras program, Encik Muhamad Zafar bin Abu Bakar melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana majlis ini dapat dilangsungkan dengan jayanya. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan. Beliau juga berharap agar PIBG menjadikan majlis ini sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Menandatangani Sijil Jalinan Kerjasama antara SKPS dengan PPS dan Ketua Kampung.

Loading

image_pdfimage_print