Majlis Khatam Al Quran Peringkat JPWPL mengimarahkan Malam 29 Ramadan 1441 Hijrah

Majlis Khatam Al-Quran berjalan lancar secara dalam talian menggunakan aplikasi ‘google meet’

Labuan, 21 Mei – Seramai 60 orang pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), guru-guru pendidikan Islam (GPI) dan guru Bahasa Arab (GBA) menghadiri majlis khatam Al-Quran sempena Program Ihya’Ramadan 2020 secara dalam talian dari rumah masing-masing malam tadi.

Majlis Khatam Al-Quran yang diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL bermula jam 9.30 malam. Majlis ini telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Fadzli Bin Sheikh Abdul Rahim  selaku ketua mursyid Labuan.  Manakala bacaan surah bermula daripada surah Ad Dhuha hingga Al Fatehah dibaca secara bergilir-gilir oleh guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Khaziyati Binti Osman, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Hj Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Binti Salim, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pegawai-pegawai JPWPL, para Pengetua, Guru Besar juga Guru-Guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya, Puan Kamariah mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang sama-sama menyertai kumpulan khatam Al-Quran serta menjayakan majlis ini secara normal baharu iaitu secara dalam talian.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, secara tidak langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.

PKP yang terjadi pasti ada hikmahnya. Ianya memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat dengan meluangkan masa bersama keluarga seperti bertadarus, solat berjemaah, bersolat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini. Di samping itu, golongan guru dapat  memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid dalam tempoh waktu ini melalui Pengajaran dan Pemudahcaraan secara maya, dengan platform yang dominan seperti Google Classroom (GC) dan Microsoft Teams, menurutnya lagi.

Program Ihya’ Ramadan merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan di peringkat jabatan dan juga sekolah bagi mengimarahkan Ramadan Al Mubarak.

Pelbagai aktiviti telah disusun antaranya Infaq Ramadan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Pendidikan, Tadarus secara berkumpulan, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan warga pendidik dan pegawai JPWPL dan Aktiviti Gempak Ramadan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.

Aktiviti KULTIM yang julung kali diadakan merupakan cetusan idea Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff, Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam, Sektor Pendidikan Islam dan di siarkan dalam saluran youtube.

Menurut Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, aktiviti Gempak Ramadan yang diadakan secara dalam talian ialah Pertandingan Tahfiz Cilik Sekolah Rendah, Pertandingan Kuliah Qiyadi,  Pertandingan Poster Ramadan dan Pertandingan Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan murid-murid.

“Bakat yang terpendam dalam diri para pelajar dapat dicungkil dan dilatih secara maksima. Para pelajar dapat membiasakan diri dalam suasana yang Citra Islam berasaskan Al-Quran malah berpeluang mendapat Sijil Penyertaan di peringkat Negeri”. katanya selepas majlis Khatam Al-Quran.

Seramai 31 murid telah menyertai Gempak Ramadan pada tahun ini. Aktiviti ‘Gempak Ramadan’ ini bertujuan untuk memupuk bakat murid dalam penghayatan Al-Quran serta  melahirkan murid yang boleh menghayati Ramadan dengan penuh tawaduk.  Adalah diharapkan juga aktiviti ini dapat mendidik jiwa nurani murid dalam suasana pengamalan Al-Quran dalam bulan yang mulia ini.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa majlis tersebut.

Loading

image_pdfimage_print