Selamat Kembali Ke Sekolah, 1264 Murid Di Labuan Mulakan Persekolahan

Pemeriksaan suhu murid oleh guru-guru SMK Labuan sebelum memasuki kawasan sekolah

Labuan, 24 Jun 2020 – Hari ini bermulalah kembali sesi persekolahan membabitkan 1264 orang murid tingkatan 5 dan tingkatan 6 yang mengambil peperiksaan awam di Labuan melibatkan 10 buah sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional.

Walaupun perasaan khuatir yang dirasai oleh murid, mereka tetap teruja dan bersemangat untuk hadir ke sekolah dengan kes COVID-19 yang semakin terkawal.

Ini dibuktikan dengan catatan kehadiran murid di Labuan pada hari pembukaan sekolah sangat memberangsangkan dengan peratus kehadiran 97.16%.

Setelah 3 bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah turut diarahkan tutup akibat penularan wabak COVID-19, tinjauan pembukaan sekolah-sekolah di Labuan, mendapati berjalan lancar berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara norma baharu di sekolah yang disarankan oleh KKM ialah saringan kesihatan di pintu masuk sekolah, kerap mencuci tangan dengan sabun (hand sanitizer), pematuhan penjarakan sosial dan tiada aktiviti yang melibatkan perhimpunan.

Guru menunjukkan cara-cara membasuh tangan menggunakan hand sanitizer kepada murid

Pemeriksaan suhu bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah juga akan dilaksanakan setiap hari. Mereka yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Kedudukan meja di dalam kelas disusun pada jarak 1 meter dan kapasiti maksimum sebuah kelas tidak melebihi 20 orang murid.

Waktu rehat secara berperingkat akan dikuatkuasakan buat semua murid. Makanan dan minuman di kantin akan siap dibungkus dan murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.

Aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka, tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Suasana di dalam kelas SMK Mutiara, penjarakan meja 1 meter dan murid makan dalam kelas di bawah pengawasan guru

Pada hari pertama pembukaan sekolah, kehadiran guru juga amat baik dengan 99.6% guru termasuk guru-guru sekolah rendah di Labuan hadir untuk memulakan tugas di sekolah masing-masing.

Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang terdiri daripada Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai Angkat Sekolah juga turut membuat lawatan ke semua sekolah di Wilayah ini bagi melihat perkembangan dan membantu pihak sekolah dalam memulakan era norma baharu pembukaan sekolah.

Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari, Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Labuan, Puan Nurzalizah Kartika Abdullah dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Puan Khaziyati Osman juga turut bekesempatan turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan bagi melihat sendiri pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Murid SMK Lajau : Amalan murid membasuh tangan sebelum memasuki kawasan sekolah
Murid SMK Labuan mengikut laluan pergerakan yang ditetapkan menuju ke kelas masing-masing
Dr Ismuni, Pengarah Kesihatan Negeri Labuan sedang berbincang sesuatu dengan Encik Ismail, Pengetua SMK Labuan
Suasana norma baharu sekolah SM St Anne
Suasana di pintu masuk sekolah SMK Rancha-Rancha
Guru-guru SK Membedai : Kami Sentiasa Bersedia !

Loading

image_pdfimage_print