NILAM Galak Pelajar Rajin Membaca

Encik Ag Marten (tengah), Encik Ardain (kiri) dan Puan Amia (kanan) bersama pemenang NILAM

Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan Awang Marten Abd Rahman berkata pelaksanaan program itu meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.Katanya program itu ialah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid.

“Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urusetia di Kementerian Pendidikan yang ditugaskan untuk menyelaras program ini,” katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri WP Labuan 2017 di BTPN Labuan, Jalan Sungai Lada, baru-baru ini.

Program Nilam telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan Pekan 1 Muhammad Afiq Ikram Ramlae muncul johan kategori Bahasa Malaysia Sekolah Rendah, kedua Nur Azrieana Afiyah Mohammad Nazri (SKK SK St Anne) dan ketiga Nasreen Sofina Nazaruddin (SJK Chi Wen).

Bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, tempat pertama dimenangi murid SJK Chi Wen, Lim Shen Jie, kedua Randy Richard (SK Layang-Layangan) dan ketiga Rubbasini AP Thavendran (SKK SK St Anne).

Murid SMK Lajau, Thasmawati Aripin muncul juara kategori Bahasa Malaysia Sekolah Menengah, diikuti Waznah Saiyidah Sidik dari SM Sains Labuan dan Siti Umairah Najwa Wardi (SMK Pantai).

Nassuha Erdina Dollah dari SMK Mutiara pula menjuarai kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah, kedua Sharifah Nur Sabrina Syed Nasirin (SMK Pantai) dan ketiga Eleana Kang Ren Wei (SMK Labuan).

Seramai 34 murid yang mewakili sekolah rendah dan menengah menyertai pertandingan Nilam pada tahun ini. Johan akan mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan di Selangor pada 24 hingga 28 April 2017. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Awang Marten Abd Rahman.

Turut hadir, Pegawai Teknologi Pendidikan Ardain Abdullah dan wakil Jabatan Pendidikan Labuan Amia Bua.

Sumber : Utusan Borneo : 6 April 2017

Loading

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.