Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2020

Labuan, 13 Jun – Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos depan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2020 secara maya.

Sambutan Hari Guru Peringkat W.P Labuan dengan tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.

Dr, Fary dalam ucapan perasmiannya berkata, guru memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga dalam pengajaran bagi memberi impak positif terhadap kualiti anak didik.

Ini seterusnya melahirkan modal insan yang holistik dan berguna kepada masyarakat, selain mampu membina negara bangsa yang cemerlang dan gemilang.

Meskipun diadakan secara maya, namun sambutan itu tetap memberi makna besar kepada dua pesara guru yang berjasa kepada Labuan iaitu mantan Guru Besar SK Sungai Lada, Encik Abdul Safar Awang Damit dan Mantan Pengetua SMK Pantai IBWS, Encik Sahar Misron yang masing- masing dinobatkan Tokoh Guru 2020.

Turut diumumkan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2019 dalam kalangan anak guru, Ikon Guru, Guru Inovatif dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan.

Sambutan ini mendapat tontonan 2000 orang melalui platform Youtube.

Hadir sama menjayakan sambutan secara maya itu ialah Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran), JPWPL, Encik Yusup Mohammad, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Para Pengetua, Guru Besar, Guru-Guru dan Warga Jabatan Pendidikan WP Labuan.

TOKOH GURU 2020 Mantan Guru Besar SK Sg. Lada Encik Abd. Safar Awang Damit
TOKOH GURU 2020, Encik Sahar Misron mantan Pengetua SMK Pantai IBWS.

Loading

image_pdfimage_print