SMK Mutiara Terima Kunjung Bantu Sektor Pembelajaran

Sebahagian daripada rombongan dari Sektor Pembelajaran yang diketuai oleh Encik Mohd Al-Ghafar

Labuan – Seramai 9 pegawai daripada Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah membuat sesi kunjung bantu dan konsultansi ke SMK Mutiara pada Jumaat lalu.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Teknologi dan Vokasional Encik Mohd Al-Ghaffar bin Mohamad Maidin telah memulakan sesi kunjung bantu secara kaunter terbuka bermula jam 8.30pagi.

Menurut Encik Al-Ghaffar, sesi kunjung bantu ini melibatkan beberapa aspek bimbingan iaitu susunan jadual waktu dalam tempoh PKPP, penjajaran semula Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan penjajaran semula kurikulum. Selain itu, bimbingan pedagogi dan pengurusan panitia turut menjadi fokus bimbingan.

“Kita bertanggungjawab memastikan pembelajaran di sekolah berjalan lancar walaupun dalam tempoh PKPP. Cabaran sudah pasti berbeza namun kurikulum pembelajaran mesti disampaikan kepada murid terutamanya calon-calon tingkatan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi” katanya lagi.

Dr. Hyginus dan Puan Siti Zaharah, SISC+ bahasa sedang menjelaskan penjajaran semula kurikulum kepada Cikgu Siti Khadijah
Cikgu Mary Bong dibimbing oleh SISC+. Cik Juraidah Aman

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengalu-alukan kehadiran dan bimbingan yang dibuat oleh pegawai-pegawai daripada SPb.

“Semua guru perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklumat, nasihat dan bimbingan berkaitan bidang tugas masing-masing. Semoga dengan bimbingan ini guru-guru SMK Mutiara dapat meningkatkan kualiti penyampaian terutamanya dari aspek pedagogi di dalam bilik darjah” tambah beliau lagi.

Pegawai-pegawai Sektor Pembelajaran turut dibawa untuk melawat ke bilik-bilik darjah. SISC+, Dr. Hyginus Junior Lee melahirkan rasa gembira kerana sepanjang pemerhatiannya semua guru dan murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang harmoni walaupun dalam tempoh PKPP.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Pengetua (tengah) sedang berbincang dengan Puan Siti Zahara

Loading

image_pdfimage_print