Lapan Guru dan Seorang PKP SMK MUTIARA Terima APC 2019

Pengetua Encik Mohd Nizam mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga SMK Mutiara

Labuan, 17 Ogos – Seramai 8 guru dan seorang Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) SMK Mutiara menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun perkhidmatan 2019 pada Sabtu lalu. Mereka ada sebahagian daripada 120 penerima APC pada tahun ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah diadakan di sebuah hotel di pusat bandar. Seramai 170 hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada penerima APC , pegawai-pegawai jabatan pendidikan, para pengetua dan guru besar serta pihak media.

Encik Raisin bin Saidin, Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasi BPSH yang juga mantan Pengarah Pendidikan W.P. Labuan telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menyeru agar semua penerima APC meneruskan momentum kecemerlangan dan sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam era pendigitalan ini.

“Jadilah benih yang baik, walau tercampak di manapun kita tetap akan tumbuh. Berusaha bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa kerana kemenjadian mereka bergantung kepada bimbingan guru. Jadikan diri kita sebagai orang yang tepat dan ditunggu-tunggu kehadirannya oleh mana-mana organisasi” tegas beliau lagi.

Lapan guru SMK Mutiara yang menerima APC 2019 ialah Puan Roslaniah Zainal, Cik Lim Shok Ing, Puan Norika binti Mohd Nor, Puan Maslinda binti Mat Jan, Puan Fadillah Awang, Cik Siti Khadijah binti Mohd Razali, Cik Zulrida binti Ismail, dan Encik Adrien Chew. Manakala seorang lagi ialah Puan Dayang Masnah binti Garasing yang bertugas sebagai pembantu makmal.

Pengetua bersama sebahagian daripada penerima APC 2019

Salah seorang penerima, Puan Norika binti Mohd Nor menyifatkan anugerah ini sebagai satu pengiktirafan dan pembakar semangat baginya untuk terus menyumbang khidmat bakti cemerlang pada masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan kejayaan guru-guru SMK Mutiara memperoleh APC pada tahun 2019.

Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap mereka terus cemerlang menggalas amanah, memikul tanggungjawab bersama-sama meletakkan SMK Mutiara sebaris dengan sekolah-sekolah yang lain.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print