SELAMAT BERSARA CIKGU AMIN

Cikgu Amin (duduk) bersama dengan guru-guru yang pernah berkhidmat di SMK Membedai.

Labuan : Seluruh warga SMK Mutiara mengucapkan selamat bersara kepada Cikgu Mohd Aminuddin bin Haji Abdul Malek, yang bersara wajib pada 18 Ogos 2020 yang lalu setelah menyumbang bakti khidmat cemerlang selama lebih 38 tahun dalam arena pendidikan.

Jawatan terakhir yang disandang beliau ialah Pengawai Meja Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang bertanggungjawab sepenuhnya mengurus Unit Pasukan Badan Beruniform (PBB), Unit Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Unit Koakademik Bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Amin terkenal dengan sikap proaktif dalam menjalankan tugas sehingga begitu dikenali di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau pernah mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Guru KRS Kebangsaan pada tahun 2013.

Cikgu Amin menyampaikan ucapan ringkas sempena lawatan perpisahan di SMK Mutiara

Selain itu, Cikgu Amin juga pernah diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Teknik Dan Pembangunan Sukan Catur Majlis Sukan Sekolah Malaysia selama 15 tahun dari 2004 hingga 2018.

Di peringkat negeri, Cikgu Amin sangat terkenal dengan ketegasan dalam mengurus persatuan-persatuan dan unit beruniform termasuk Kadet Remaja Sekolah (KRS), Kadet Bomba dan Pengakap.

Pasukan STEM negeri juga berjaya muncul naib johan peringkat kebangsaan pada tahun 2019 di bawah kendalian beliau bersama-sama Cikgu Hisyam dan Cikgu Angela Joseph.

Pencapaian tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan di wilayah ini.

Malah sumbangan beliau menjangkaui tugas hakiki dengan mengambil inisiatif memperkenalkan sistem STAR headcount yang bersifat akademik yang telah memberi manfaat kepada banyak sekolah di dalam dan luar Labuan.

SMK Mutiara berasa sangat berbesar hati menerima kunjungan rasmi terakhir beliau ke sekolah ini pada selasa lalu. Beliau melapor diri di SMK Mutiara pada tahun 1996 sebagai tempat bertugas pertamanya di Labuan apabila berpindah daripada tanah besar Sabah.

Rombongan beliau ke SMK Mutiara tepat jam 9.00 pagi telah disambut oleh pengetua sekolah bersama 7 orang guru yang pernah berkhidmat bersama-sama beliau di SMK Mutiara yang dahulunya dikenali sebagai SMK Membedai. Mereka termasuk Cikgu Hisyam Abdul Aziz, Cikgu Teo Geok Lin, Cikgu Mary Bong, Cikgu Kim Non Chong Keat dan Cikgu Lee Hoi Tho. Selain itu, Encik Aspan Ngadi yang bertugas sebagai Pembantu Am sekolah turut sempat berkhidmat bersama-sama Cikgu Amin.

Dalam satu majlis ringkas, Cikgu Amin telah menandatangan buku lawatan di ruang legar blok B sekolah sambil disaksikan oleh pegawai-pegawai JPN yang mengiringi beliau yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM).

Ketibaan rombongan Cikgu Amin disambut oleh Pengetua dan guru-guru SMK Mutiara
Cikgu Amin menyampaikan ucapan ringkas sempena lawatan perpisahan di SMK Mutiara

Dalam ucapan ringkasnya, Cikgu Amin mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan kepada selama beliau bertugas di Labuan.

“Saya sedia menawarkan bantuan tenaga dan kepakaran jika diperlukan dalam tempoh persaraan saya jika diperlukan oleh pihak sekolah dan jabatan. Sekali bergelar guru, gurulah selamanya” ujar beliau lagi.

Sejurus selepas itu, sesi penyampaian cenderamata kenangan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak sekolah terhadap komitmen beliau sepanjang perkhidmatan di SMK Mutiara.

Turut hadir di dalam majlis ringkas tersebut ialah Puan Roslaniah Zainal, Penolong Kanan Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI), Encik Fadhil, Kaunselor Negeri dan Encik Hasbollah Amit, KPP Unit Pembangunan Bakat Murid.

Jasamu sentiasa dikenang hingga akhir hayat. Terima Kasih Cikgu Amin
Cikgu Amin bergambar kenangan bersama Pengetua Encik Nizam.

Loading

image_pdfimage_print