81 LEPASAN STPM SMK LABUAN BERJAYA KE UNIVERSITI

Encik Ismail bersama para pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan

Labuan, 25 Ogos – Seramai 81 orang daripada 136 calon STPM 2019 Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui keputusan yang diumumkan baru-baru ini.

Pencapaian ini merangkumi 59.6 peratus daripada jumlah calon STPM 2019 dan jauh lebih baik daripada pencapaian pada STPM 2018 iaitu 46.4 peratus (sebelum rayuan) dan 52.2 peratus (selepas rayuan).

Dijangka lebih ramai pelajar akan mendapat tempat selepas rayuan dan peratus akan melebihi 60 peratus.

Pelajar-pelajar ini telah ditawarkan kesembilan buah universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) (seorang), Universiti Malaysia Sabah (UMS): 50 orang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS): lima orang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) : 13 orang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK): tiga orang, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI): empat orang, Universiti Malaysia Terengganu (UMT): seorang, Universiti Sains Malaysia (USM): tiga orang dan Universiti Malaya juga seorang.

Empat pelajar cemerlang STPM 2019 yang mendapat PNGK 3.92 juga telah mendapat tawaran masing-masing.

Mereka ialah Eleena Yeo Sui Mee, Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, UMS; Aaron Lau Jiaxiang, Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, UMS; Irham Zulhilmi Mohd Johan, Teknologi Seni Visual dengan Kepujian, UMS; dan Siti Salbiah Mohd Yussof, Sejarah, Universiti Malaya.

CEMERLANG: Pelajar cemerlang STPM 2019 (dari kiri) Eleena Yeo Sui Mei, Aaron Lau Jiaxiang, Irham Zulhilmi Mohd Johan, Siti Salbiah Mohd Yussof.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menyatakan rasa gembira dengan peningkatan ketara ini.

Katanya, peningkatan setiap tahun bermakna Wilayah Persekutuan Labuan akan mempunyai golongan professional yang semakin ramai setiap tahun.

“SMK Labuan sangat gembira kerana dapat menyumbang kepada perubahan struktur sosial di WP Labuan dengan melahirkan golongan intelek yang diharapkan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan pulau Labuan yang dicintai ini,” katanya.

Encik Ismail merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang bersungguh-sungguh mendidik dan membimbing pelajar-pelajar hingga berjaya.

Loading

image_pdfimage_print