SMK Mutiara Adakan Taklimat Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Ko Kurikulum Dalam Tempoh PKP

Labuan, 6 Sept – Langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020 telah memberi impak kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembelajaran murid-murid sekolah termasuklah aktiviti sukan dan Kokurikulum.

Walau bagaimanapun, mulai 1 September 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah untuk melaksanakan aktiviti sukan dan Kokurikulum dengan mematuhi SOP yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Terdahulu, pihak Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah membuat taklimat berkaitan perkara ini kepada Penolong-penolong Kanan Kokurikulum pada hari Isnin lalu.

Bagi memastikan perkara ini dilaksanakan dengan berkesan dan mematuhi garis panduan yang disediakan, SMK Mutiara telah melaksanakan penerangan dan kefahaman berkaitan prosedur pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum kepada semua guru pada Khamis lalu.

Taklimat di Dewan Semarak telah disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum SMK Mutiara, Encik Jostelen Lamibai. Beliau telah menekankan aspek penjarakan fizikal, kebersihan dan keselamatan dalam pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka.

“Kebenaran ibubapa diperlukan sebelum aktiviti-aktiviti tersebut dilaksanakan terutamanya murid-murid yang berisiko dan mempunyai imuniti badan yang rendah. Guru-guru juga perlu menyebarluas prosedur dan panduan pelaksanaan aktiviti supaya mudah dirujuk oleh murid, guru dan ibubapa” tambahnya lagi.

Encik Jostelen menyampaikan penerangan mengenai aktiviti sukan dan kokurikulum kepada guru-guru SMK Mutiara

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim menyifatkan kebenaran aktiviti amali luar bilik darjah secara bersemuka termasuk aktiviti Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) telah memberi ruang kepada murid-murid untuk mengembalikan tahap kecergasan setelah berehat selama 5 bulan.

“Pihak sekolah berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama padu bagi menjayakan agenda pendidikan nasional secara bersungguh-sungguh. Guru-guru perlu merancang aktiviti mengikut kesesuaian tempat dengan mengambilkira penjarakan fizikal” tegas beliau lagi.

Turut hadir dalam sesi taklimat ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Siti Aminah binti Zakaria, Penolong Kanan HEM, Encik Hisyam bin Abdul Aziz dan Penolong Kanan PPKI, Puan Roslaniah binti Zainal.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Guru-guru yang hadir sedang mendengar taklimat mengenai pelaksanaan sukan dan ko kurikulum dalam tempoh PKPP

Loading

image_pdfimage_print