Pertandingan Kreatif Merdeka Semarakkan Jiwa Patriotisme Warga SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengetua SMKTPB Encik Ag Rozlan (tengah), PK Kurikulum Pn Chai Yee San (depan – dari kiri), PK Kokurikulum Pn Lau Chin Ying (dua dari kanan), Ketua Panitia Sejarah Cikgu Mahani Sapar (kiri) dan Juri Pertandingan Cikgu Masrah Daiman (kanan).

SMK Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan Pertandingan Kreatif Merdeka sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-63 Tahun yang bertemakan Malaysia Prihatin. Pertandingan ini diadakan di peringkat sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dengan pematuhan standard prosedur operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

Pertandingan Kreatif Merdeka ini terbuka kepada semua warga sekolah dengan melibatkan guru dan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Pertandingan Kreatif Merdeka ini telah dianjurkan oleh Panitia Sejarah SMKTPB yang diketuai oleh Cikgu Mahani Sapar dan dibantu oleh Cikgu Nurul Faezah Abdullah dengan kerjasama daripada Ketua Panitia Muzik, Cikgu Marcella Micheal dan Ketua Panitia Pendidikan Moral Cikgu Masrah Daiman.

Matlamat utama pertandingan ini diadakan adalah untuk menerapkan jiwa patriotisme yang utuh dalam kalangan warga SMKTPB serta mendidik warga SMKTPB untuk menzahirkan makna kemerdekaan mengikut kreativiti sendiri walaupun dalam situasi pandemik norma baharu ini.

Pertandingan Kreatif Merdeka telah dirasmikan oleh Pengetua SMKTPB Encik Ag Rozlan Hj Manan pada 11 September 2020.

Pertandingan Kreatif Merdeka yang dilaksanakan ini terdiri daripada dua kategori pertandingan iaitu Kategori Guru dan Kategori Murid. Terdapat lima jenis pertandingan yang diadakan antaranya Pertandingan Bercerita Bertemakan “Tokohku” bagi Kategori Murid. Murid perlu membuat rakaman video berdurasi 5 minit dan bercerita mengenai tokoh atau pahlawan negara tanpa melihat teks. Pertandingan ini bukan sahaja dapat menambahkan pengetahuan murid tentang tokoh kemerdekaan negara, malah murid dapat menghayati pengorbanan tokoh dan pahlawan kemerdekaan negara.

JOHAN BERCERITA “TOKOHKU” Nina Sabrina Ejara (5 BETA)

Pertandingan kedua ialah Pertandingan Fesyen Kemerdekaan (Kategori Murid dan Kategori Guru). Murid dan guru bebas memakai pakaian mengikut etnik atau mempunyai warna Jalur Gemilang dan menghantar gambar kepada juri namun  perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan iaitu mestilah berpakaian sopan serta tidak menggunakan bendera Malaysia  sebagai pakaian.

Pertandingan ketiga ialah Pertandingan Selfie Kreatif (Kategori Guru). Bagi pertandingan ini, guru bebas menghantar gambar selfie kreatif kepada pihak juri dan gambar yang diambil perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan iaitu perlu menepati tema kemerdekaan.

 Pertandingan Keempat ialah Pertandingan Nyanyian Kemerdekaan bagi Kategori Murid dan Kategori Guru. Syarat pertandingan ialah peserta pertandingan perlu memilih lagu yang bertemakan kemerdekaan dan menghantar rakaman video yang jelas dan menarik kepada pihak juri. Peserta juga wajib memakai pakaian yang sopan ketika membuat rakaman video.

Pertandingan Kelima ialah Pertandingan Deklamasi Sajak bagi Kategori Murid. Murid perlu membuat rakaman dan bebas memilih sendiri sajak tetapi masih perlu menepati syarat pertandingan iaitu bertemakan semangat cinta akan negara. Melalui pertandingan ini, murid bebas berkarya serta berpeluang untuk mempersembahkan bakat dan keupayaan sendiri.

JOHAN NYANYIAN KEMERDEKAAN DAN JOHAN FESYEN KEMERDEKAAN (KATEGORI MURID MENENGAH RENDAH) Siti Annur Qurratu Aina Anuar (dua dari kiri)
JOHAN KATEGORI NYANYIAN GURU Cikgu Rosenani Farera Micheal (tengah).

Objektif utama Pertandingan Kreatif Merdeka ialah menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah. Selain itu, objektif pertandingan ini ialah menyuburkan jiwa patriotik dalam kalangan warga sekolah, melatih murid menghayati perjuangan tokoh dan pahlawan negara, mendedahkan pengetahuan murid dengan pelbagai aspek kesenian dan kebudayaan pelbagai etnik dan kaum di negara Malaysia, meningkatkan pengetahuan murid tentang sejarah dan warisan negara serta menambahkan kemahiran interaksi dan komunikasi murid tentang sejarah negara.

Majlis penyampaian hadiah telah dilaksanakan di Anjung Perdana SMKTPB pada 23 September. Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Ag Rozlan Bin Hj Manan. Bagi Pertandingan Kreatif Merdeka Kategori Murid, dihakimi oleh Cikgu Mahani Sapar dan Cikgu Nurul Faezah Abdullah. Manakala, Pertandingan Kreatif Merdeka Kategori Guru pula dihakimi oleh Cikgu Marcella Micheal dan Cikgu Masrah Daiman sebagai juri pertandingan.

Dalam pertandingan itu, murid Tingkatan Lima, Nina Sabrina Ejara mendapat Johan Pertandingan Bercerita “Tokohku”. Beliau menyampaikan cerita yang bertajuk “Rosli Dhobi”.

Johan Pertandingan Selfie Kreatif Kategori Guru dimenangi oleh Cikgu Syafiqah Binti Nordin.

JOHAN PERTANDINGAN SELFIE KREATIF KATEGORI GURU
Cikgu Syafiqah Binti Nordin (dua dari kiri)

Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Rendah dimenangi oleh Maizura Mazliani Mazlan (3 ALFA) dengan tajuk “Sumpah Anak Merdeka”, manakala Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Atas dimenangi oleh Mohd Hanif Mohd Jame (5 ALFA) dengan tajuk “www.sibermerdeka.com.my”.

Johan Pertandingan Nyanyian Kategori Murid Menengah Rendah dimenangi oleh Siti Annur Qurratu Aina Anuar (3 ALFA), manakala Johan Pertandingan Nyanyian Kategori Murid Menengah Atas (Nyanyian Duet) dimenangi oleh Ain Nabilah (5 BETA) dan Nur Sofieyani  (5 BETA). Johan Pertandingan Nyanyian Kategori Guru dimenangi oleh Cikgu Rosenani Farera Micheal.

Anugerah terakhir ialah Johan Pertandingan Fesyen Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Rendah dimenangi oleh Siti Annur Qurratu Aina Anuar (3 ALFA), Johan Pertandingan Fesyen Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Atas dimenangi oleh Nur Bazla Batrisya (5 ALFA). Johan Pertandingan Fesyen Kemerdekaan Kategori Guru dimenangi oleh Ustazah Siti Norjamilah, Ustazah Saidatun Nadiah dan Cikgu Faridatul Khairah.

Pemenang Pertandingan Kreatif Kemerdekaan peringkat SMKTPB membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan dan hadiah sagu hati. Hadiah bernilai RM30 untuk Johan, RM 25 Naib Johan dan RM20 untuk tempat Ketiga. Hadiah wang tunai dan sijil penyertaan diberikan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga, manakala tempat keempat dan kelima diberikan hadiah sagu hati berserta sijil penyertaan.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

JOHAN SAJAK KEMERDEKAAN (KATEGORI MURID MENENGAH ATAS) Mohd Hanif Mohd Jame (5 ALFA)
JOHAN FESYEN KEMERDEKAAN (KATEGORI GURU) Pengetua Ag Rozlan Hj Manan (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Cikgu Faridatul Khairah (dua dari kiri), Ustazah Siti Norjamilah dan Ustazah Saidatun Nadiah .

Loading

image_pdfimage_print