Labuan – Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menganjurkan empat kem di bawah Program Adab dan Nilai (ADNI) untuk murid sekolah menengah secara dalam talian pada setiap Sabtu bermula 17 Oktober 2020 sehingga 7 November 2020 melalui aplikasi Google Meet.
e-Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah-Sekolah (e-NKISS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan membuka tirai pelaksanaan kem ini yang diadakan pada 17 Oktober 2020 melibatkan seramai 76 orang murid tingkatan 4 daripada 9 buah sekolah menengah di wilayah ini.
Menurut Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai (ADNI) Sektor Pendidikan Islam (SPI) selaku penyelaras kem Tuan Haji Sahrum bin Samlan, Nadwah kepimpinan Islam merupakan aktiviti berbentuk kem yang diadakan sejak 2003 bagi melahirkan saf kepemimpinan murid yang berketerampilan selari dengan tuntutan Islam bahawa kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t.
Sepanjang kem ini peserta didedahkan dengan ilmu, kemahiran dan gaya kepemimpinan wasatiyah agar mampu menguruskan keperluan dan cabaran persekitaran semasa berlandaskan kepemimpinan Rasulullah s.a.w.. Slot ceramah telah di sampaikan oleh Al Fadil Ustaz Syahmun bin Yahaya, penceramah yang diundang daripada Kolej Matrikulasi Labuan.
Antara pengisian di dalam kem ialah perbincangan berkaitan Modul Qiyadi Murid Islam di dalam slot ilmu, ceramah kepemimpinan, sesi soal jawab bersama penceramah, pembentangan isu, menjawab soalan kuiz dan pertandingan mimbar Qiyadi. Peserta dinilai sepanjang kursus oleh fasilitator manakala penilaian kendiri keberkesanan program dan selepas kem dilakukan oleh peserta sendiri.
Turut hadir di dalam kem ini Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Hajah Kamariah binti Salim, Penolong-penolong pengarah di SPI dan 14 orang guru yang bertindak sebagai fasilitator .
“Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t di atas limpah perkenan-Nya, dapat kita bersama melaksanakan Nadwah Kepimpinan Islam biarpun kem kali ini diadakan secara atas talian sahaja sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan kita bersama dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.”
“Seperti tahun-tahun lalu Nadwah Kepimpinan Islam dilaksanakan untuk melahirkan pemimpin pelapis muda yang berkepimpinan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dalam merealisasikan satu ummah berperibadi muslim sepanjang zaman” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Nadwah Kepimpinan Islam.
Menurutnya lagi, melalui penglibatan aktif peserta di dalam sesi perbincangan dan pembentangan isu ianya dapat mencungkil dan mengenal pasti ciri-ciri seorang pemimpin yang cemerlang, berfikiran positif, kreatif dan kritis serta mampu mengendalikan perbincangan secara sistematik.
Sementara itu, e-Kem Pemantapan Akidah Sekolah-Sekolah KPM (e-KEMPAK) Peringkat Negeri W.P Labuan telah dilaksanakan pada 24 Oktober 2020 (Sabtu) yang disertai seramai 71 orang murid tingkatan 1 hingga 5 di 9 buah sekolah menengah dan 13 orang guru sebagai fasilitator.
Kem Pemantapan Akidah bertujuan untuk menanam perasaan kecintaan dan keyakinan kepada Islam dalam diri peserta agar mereka meyakini bahawa Islam adalah agama yang benar dan terbaik untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.
Kem ini bertujuan untuk mencetuskan semangat dan motivasi dalaman peserta ke arah menimba ilmu pengetahuan serta melahirkan pelajar yang berpegang dengan akidah ahli sunnah wal-jamaah. Slot ceramah telah disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Jamek Layang-Layangan W.P Labuan Al Fadil ustaz Muhammad Syafie bin Abdul Ghani.
e-Kem Pemantapan Sahsiah Murid Sekolah-Sekolah KPM (e-KEMPAS) Peringkat Negeri W.P Labuan pula diadakan pada 31 Oktober 2020 (Sabtu) yang melibatkan seramai 69 orang murid tingkatan 1 hingga 5 dari 9 buah sekolah menengah di W.P Labuan dan disertai 12 orang guru.
Kem ini dilaksanakan untuk mengurangkan kes-kes perlanggaran disiplin sekolah oleh pelajar-pelajar yang berisiko di samping memberi penekanan kepada aspek pembentukan sahsiah diri.
Di samping itu, KEMPAS dilaksanakan untuk mencetuskan semangat dan motivasi dalaman peserta ke arah menimba ilmu pengetahuan serta melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah unggul. Slot ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Agama Petronas W.P Labuan Ustaz Hj Norazlan bin Mahmood.
e-Kem Jati Diri Murid Sekolah-Sekolah KPM (e-KEMJAD) Peringkat Negeri W.P Labuan diadakan pada 07 November 2020 (Sabtu) yang melibatkan seramai 84 orang murid tingkatan 1 hingga 5 dari 9 buah sekolah menengah di W.P Labuan dan disertai 16 orang guru. Slot ceramah telah disampaikan oleh pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan Ustaz Shahirul bin Abdullah. Sektor Pendidikan Islam merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru selaku penyelaras dakwah sekolah dan ibu bapa yang bekerjasama menyediakan peranti untuk anak-anak menyertai kem ini dengan jayanya.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
Ustaz Shahirul bin Abdullah Ustaz Hj Norazlan bin Mahmood