Semua Sekolah Menengah W.P Labuan Disanitasi

Selesai melaksanakan sanitasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan

Labuan, 19 Januari : Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengambil inisiatif menyelaras program sanitasi di semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan menjelang pembukaan sekolah pada 20 Januari 2021. Program yang dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan, APAM dan PDRM telah dilaksanakan mulai 15 hingga 19 Januari 2021.

Kerjasama bersepadu ini telah diselaraskan oleh Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Menurut penyelaras program, Encik Ahmad Firdaus Lee bin Abdullah berkata sebanyak 10 buah sekolah menengah telah disanitasi termasuk Kolej Vokasional Labuan.

“Program ini bertujuan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan premis dan bangunan sekolah berada di tahap terbaik menjelang pembukaan sekolah untuk murid-murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6” kata beliau lagi.

Pasukan sanitasi diterajui oleh Unit HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P Labuan yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Encik Azlan bin Talin. Menurut beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pandemik Covid 19 dapat dibentung sepenuhnya.

Sebelum memulakan kerja-kerja sanitasi, beliau turut membuat taklimat ringkas berkaitan sanitasi kendiri yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa oleh mana-mana organisasi.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bagi memastikan Covid19 tidak menular dalam masyarakat” ujar beliau lagi.

Penerangan oleh Encik Azlan sebelum memulakan sanitasi
Proses sanitasi di dalam bilik darjah

Proses sanitasi ini juga turut mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pentadbir sekolah. Pengetua SMK Labuan yang juga YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail bin Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat membantu sekolah dalam kerja-kerja sanitasi kali ini. Beliau turut memaklumkan sebanyak 6 blok bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, makmal, dewan serta kemudahan-kemudahan lain telah disanitasi dalam program yang bermula dari jam 9.00pagi hingga 10pagi Sabtu lalu.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati binti Osman turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama padu pelbagai pihak dalam membantu pihak jabatan melaksanakan kerja-kerja sanitasi di sekolah kali ini.

“Apapun yang kita lakukan adalah sebenarnya demi kepentingan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan. Kita juga mahu ibubapa yakin dan percaya bahawa kita telah mengambil langkah-langkah perlu dan proaktif demi menjaga keselamatan anak-anak mereka apabila sekolah mulai beroperasi nanti. Keselamatan dan kesihatan semua murid dan guru adalah keutamaan jabatan dan tidak boleh dikompromi dalam situasi pandemik Covid-19” tambah beliau lagi.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Sektor Perancangan, JPWPL

Penyelaras program Encik Firdaus Lee ( kiri ) sedang memantau sanitasi di sekolah-sekolah W.P Labuan
Sanitasi SMK Taman Perumahan Bedaun
Sanitasi SMK Pantai IBWS

Loading

image_pdfimage_print