Road To Success SPM 2020 Di Didik Tv @ Ntv 7 : Pendidikan Maya Alaf Baharu Sebagai Persiapan Menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

17 Februari – Program Road to Success SPM 2020 Bahasa Arab Kertas 1 telah disiarkan secara langsung di Didik TV NTV 7 bersama calon-calon SPM 2020 Bahasa Arab Tingkatan 5 Ibnu Sina dari SMK Mutiara, WP Labuan. Program yang menggunakan platform secara atas talian iaitu Google Meet selaras dengan norma baharu ini telah melibatkan seramai 23 orang murid calon SPM Bahasa Arab dari SMK Mutiara bersama-sama calon-calon SPM lain dari seluruh Malaysia.

Buat julung kalinya murid-murid kelas 5 Ibnu Sina dari SMK Mutiara telah menerima jemputan khas dari NTV 7 sebagai peserta Program Teknik Menjawab SPM Bahasa Arab Kertas 1 secara langsung pada jam 3 sehingga 4.30 petang. Pendidikan maya ini telah dikendalikan secara interaktif oleh guru yang berpengalaman mengajar dalam Bahasa Arab selama 20 tahun iaitu Ustaz Alimshah Zulkafri dari SABK Maahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak sebagai penceramah jemputan Program Teknik Menjawab Bahasa Arab Kertas 1 ini.

“ Inisiatif daripada Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan ini diharapkan dapat membantu murid-murid SMK Mutiara yang akan menduduki SPM Kertas Bahasa Arab pada 15 Mac 2021 tidak lama lagi. Walaupun mereka menghadapi kekangan dan cabaran dalam pembelajaran online, ianya tidak menghalang pihak sekolah untuk terus memberi peluang, ruang serta pendekatan yang sesuai sebagai persiapan murid-murid menghadapi peperiksaan SPM “, kata Encik Zainal Bin Abdul Wahab selaku Ketua Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan ketika dihubungi.  Tambah beliau lagi, dalam menghadapi saat-saat genting ini, pendekatan motivasi pembelajaran yang berterusan kepada murid adalah sangat penting sebagai kekuatan jiwa mereka yang lebih kuat dan kental  untuk menduduki peperiksaan SPM sambil berazam tinggi untuk membuktikan sesuatu kepada diri sendiri, sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Manakala, adik Mohammad Aiman Hakim bin Kamarul selaku wakil murid Tingkatan 5 Ibnu Sina dalam sesi live ini mengatakan bahawa walaupun mereka merupakan calon SPM yang paling bersejarah dan juga yang paling banyak melalui cabaran berbanding calon-calon sebelumnya, ini tidak akan menghalang mereka untuk membuat persiapan terakhir menduduki peperiksaan. Malah aura yang ceria dan pendekatan yang positif sepanjang program ini berlangsung dapat meningkatkan lagi semangat juang dan keyakinan dalam menghadapi Kertas 1 Bahasa Arab.

Adik Mohammad Aiman Hakim bin Kamarul daripada Tingkatan 5 Ibnu Sina menjadi salah seorang antara wakil peserta murid SMK Mutiara, WP Labuan dari seluruh Malaysia secara Live di program ini.

“ Melalui program live Didik TV NTV 7 ini, banyak ilmu, input dan  teknik dalam menjawab Bahasa Arab Kertas 1 yang boleh saya dan rakan-rakan sekelas yang lain manfaatkan sebagai persediaan peperiksaan kertas Bahasa Arab pada 15 Mac nanti. Insya Allah kami akan cuba yang terbaik untuk diri kami sendiri, ibu bapa serta guru-guru SMK Mutiara yang tidak berputus asa dalam mendidik kami”, ujar adik Nurul Haziqah Binti Mohd Rashidin juga daripada Tingkatan 5 Ibnu Sina.

Sekalung terima kasih juga kepada barisan Unit ICT SMK Mutiara, WP Labuan, Puan Farah Sha’adah binti Hamzah dan Encik Mohd Asrul bin Jais yang telah membantu di sepanjang program bagi memastikan kelancaran program ini berlangsung di Makmal Komputer Bestari, SMK Mutiara. Secara keseluruhannya program ini telah berjaya mencapai objektif Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara WP Labuan dan semua murid yang terlibat telah menunjukkan reaksi yang positif dan bersemangat di sepanjang program ini berlangsung. Terlepas menonton Road To Success SPM 2020 di Didik TV @ NTV 7 semalam?  Boleh tonton semula di pautan berikut : https://youtu.be/JO25ynbd2Sc  atau siaran ulangannya di www.tonton.com.my.

Ketua Panitia Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan, Ustaz Haji Zainal bin Abdul Wahab sedang memberikan bimbingan dan sokongan sepanjang Program Teknik Menjawab Kertas 1 SPM Bahasa Arab : Road To Success SPM 2020 sedang berlangsung kepada murid-murid Tingkatan 5 Ibnu Sina
Pembelajaran maya melalui Google Meet di Didik TV @ NTV 7 berjaya menarik minat dan semangat murid dalam persiapan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.
Walaupun hanya melalui alam maya, ianya tidak menghalang usaha guru berpengalaman dalam subjek Bahasa Arab selama 20 tahun iaitu Ustaz Alimshah Zulkafri untuk berkongsi ilmu, tips dan panduan dalam teknik menjawab Kertas 1 SPM Bahasa Arab kepada calon-calon murid Kertas 1 Bahasa Arab SMK Mutiara, WP Labuan dan di seluruh Malaysia melalui medium Didik TV @ NTV 7.

Loading

image_pdfimage_print