Majlis Bacaan Yasin dan Restu Ilmu Calon SPM 2020

Kehadiran murid-murid, ibu bapa dan guru-guru dalam talian

Labuan, 21 Feb – Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Restu Ilmu untuk calon SPM 2020. Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan calon SPM 2020, ibu bapa dan juga guru-guru dengan pelibatan seramai 98 orang.

Menurut Penyelaras Program, Ustaz Mohd Daud Abdul Rahman, objektif program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselmaatan warga sekolah serta keluarga terhindar daripada ditimpa musibah wabak Covid-19, di samping memohon kepada Allah agar mereka yang dijangkitan wabak Covid-19 akan kembali sembuh dengan segera.

Tambah beliau, program ini juga bertujuan untuk memohon pertolongan Allah dan sebagai usaha kerohanian agar murid-murid yang akan menduduki peperiksaan SPM berada di sekolah dalam keadaan yang selamat, dapat belajar dengan tenang dan beroleh keputusan yang cemerlang dalam SPM kelak.

Program yang bermula selepas solat Maghrib di rumah masing-masing dimulakan dengan bacaan Yasin dan diikuti dengan bacaan doa secara dalam talian yang dipimpin oleh Ustaz Erzadiansyah bin Uzad.

Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan Manan merkamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua murid, ibu bapa serta guru-guru ke majlis ini yang dilaksanakan secara norma baharu tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Ucapan oleh pengetua, Encik Awang Rozlan bin Manan

Beliau berharap agar murid-murid Tingkatan 5 tahun 2020 sudahpun bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM setelah 11 tahun di alam persekolahan. Dalam ucapannya juga, beliau memaklumkan bahawa rakaman taklimat daripada guru mata pelajaran untuk kertas SPM akan dihantar kepada murid melalui rakaman audio dan video.

Beliau juga memohon kerjasama daripada ibu bapa unutk mengawal pergerakan dan aktiviti anak-anak di rumah sepanjang musim peperiksaan berlangsung. Motivasi dan kata-kata semangat daripada ibu bapa, di samping memantau kesihatan anak-anak amatlah diharapkan dalam membantu meningkatkan keyakinan anak-anak untuk menduduki peperiksaan SPM.

Sebelum mengakhiri majlis, beliau turut menyatakan keyakinannya dengan kemampuan murid, ditambah dengan keupayaan guru serta sokongan ibu bapa kepada calon SPM untuk mengulangi pencapaian 100 peratus lulus SPM.

Untuk rekod, seramai 94 orang murid sekolah ini akan menduduki peperiksaan SPM yang akan bermula pada hari Isnin, 22 Februari 2021.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat Hajat di rumah masing-masing.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print